Laporan semalam mengenai kemalangan itu.
Oleh Mohd Hilmie Hussin


LELAKI warga Perancis yang maut dirempuh kereta di hadapan sebuah kedai dobi layan diri di Jalan Merdeka, Melaka semalam, bukannya pelancong.

Sebaliknya, Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Afzanizar Ahmad berkata, Tatarian Maurice, 64, bekerja dengan syarikat perunding Siemens France yang berurusan dengan loji penapisan minyak di Sungai Udang.

Beliau berkata, siasatan awal mendapati mangsa menginap di sebuah hotel di negeri ini sejak 14 Januari lalu dan kerjanya dijangka selesai pada Khamis ini.

“Susulan kejadian, polis sudah menghubungi Kedutaan Perancis dan mereka dijangka menghantar wakil bagi menuntut mayat mangsa di Hospital Melaka, hari ini.

“Saya difahamkan, keluarga mangsa sudah dberitahu namun, kita belum terima sebarang maklumat lanjut berkaitan urusan membawa pulang mayat, malah keputusan bedah siasat juga belum diperoleh,” katanya.

Beliau ditemui pada Majlis Serah Terima Tugas Timbalan Ketua Polis Melaka yang baharu di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) negeri, Bukit Beruang, hari ini.

Hadir pada majlis itu, Ketua Polis Melaka, Datuk Raja Shahrom Raja Abdullah.

Dalam nahas pada 11.45 pagi Ahad, Maurice dipercayai melintas Jalan Melaka Raya 12, sebelum dilanggar BMW dan maut di tempat kejadian.

Difahamkan, rempuhan menyebabkan mangsa terseret kira-kira 20 meter dan tersepit antara kereta dan tiang bangunan di hadapan kedai dobi itu.

Terdahulu, kereta BMW dipandu lelaki 34 tahun bergesel dengan kereta Honda Jazz dipandu seorang lelaki berusia 27 tahun.

Dalam pada itu, Raja Shahrom berkata, pemandu kereta Honda Jazz ditahan semalam untuk membantu siasatan, manakala pemandu BMW diberi jaminan polis bagi mendapatkan rawatan di hospital.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1)(A) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Berita berkaitan

Pelancong Perancis maut dirempuh kereta [METROTV]

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 28 January 2019 @ 4:23 PM