LAPORAN portal berita Harian Metro, semalam mengenai kemalangan menyebabkan anggota polis maut digilis lori.
Mohd Helmi Irwadi Mohd Nor
mohdhelmi@nstp.com.my


PEMANDU lori yang melarikan diri selepas terbabit kemalangan menyebabkan seorang anggota polis maut di Jalan Besar Pekan Nilai berhampiran simpang masuk ke Taman Rose Merah, Nilai, semalam, tampil menyerah diri, malam tadi.

Ketua Polis Daerah Nilai, Superintendan Mohd Nor Marzukee Besar, berkata lelaki tempatan berusia 61 tahun itu menyerah diri di Balai Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Nilai pada 9 malam.

Katanya, suspek turut diarahkan menjalani ujian air kencing, namun keputusannya negatif dadah sebelum dibawa ke Hospital Tuanku Ja’afar (HTJ) Seremban bagi melakukan ujian toksikologi darah.

“Lori dipandu suspek turut disita untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

“Suspek kemudiannya dibebaskan dengan jaminan polis selepas selesai diambil keterangan,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Dalam kejadian jam 12 tengah hari semalam, Konstabel Mohd Syafiq Ramlan, 26, yang berkhidmat di Cawangan Balai Pengawal Istana Negeri Sembilan maut di lokasi kejadian.

Mangsa yang beruniform lengkap dalam perjalanan dari Nilai menuju Kuala Pilah bagi bantuan tugas di Balai Pengawal Istana Seri Menanti.

Siasatan mendapati mangsa yang menunggang motosikal Honda Dash di belakang sebuah lori dari arah Nilai menghala ke Labu.

Sebaik tiba di lokasi, lori berkenaan mahu membelok ke kiri, namun mangsa terjatuh ketika menekan brek menyebabkan dia terperosok di bawah lori dan digilis.

Mangsa yang mengalami parah di kepala akibat digilis meninggal dunia di tempat kejadian.

Pemandu lori terbabit dikatakan memecut kenderaannya melarikan diri meninggalkan kelindannya berusia 20-an di tepi jalan.

Sehubungan itu, polis mengesan pemandu berkenaan dan pada masa sama, kelindan terbabit membuat laporan polis sebagai saksi kemalangan.

Berita berkaitan

'Anggota polis maut digilis, pemandu lori cabut lari'

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 28 January 2019 @ 4:28 PM