MANGSA cedera pada belakang badan dan bahu selepas dibaling dengan kerusi dan meja besi dalam kejadian di sekolah menengah di Georgetown, hari ini. FOTO ihsan polis.
Hadzlihady Hassan


ANGKARA maki hamun, dua pelajar lelaki tingkatan tiga bertengkar sebelum seorang daripadanya cedera di belakang badan kerana dibaling kerusi dan meja besi dalam kejadian di sekolah menengah terkenal di Pulau Pinang, hari ini.

Dalam kejadian 6.30 pagi itu, mangsa pada mulanya berada dalam kelas bersama rakannya sebelum mereka bertengkar.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Che Zaimani Che Awang berkata, mangsa dibaling kerusi dan meja oleh suspek sebanyak tiga kali dan menyebabkan dia luka di belakang badan dan sakit dada.

“Suspek kemudian beredar keluar dari kelas dan mangsa memberitahu guru disiplin berhubung kejadian itu selepas perhimpunan pagi.

“Selain itu, mangsa turut menghubungi ibu bapanya yang kemudian datang ke sekolah terbabit untuk menyelesaikan masalah itu,” katanya.

Che Zaimani berkata, siasatan mendapati mangsa menegur perbuatan suspek yang dikatakan memaki hamun dan bercakap kotor mengenai ibunya.

“Ibu bapa mangsa mendakwa anaknya sering menjadi mangsa akibat dibuli suspek ketika bersekolah di situ sejak 2017 lalu.

“Susulan daripada itu, kami menahan suspek hari ini dan masih mengesan tiga lagi pelajar yang menjadi saksi kejadian bagi membantu siasatan kes itu,” katanya.

Menurutnya, mangsa dirawat di Hospital Pulau Pinang dan kes disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan.

Sementara itu, satu video berdurasi 1 minit 37 saat tular di media sosial menunjukkan ibu bapa mangsa yang tidak berpuas hati kerana mereka gagal bertemu dengan ahli keluarga suspek.

Difahamkan, keluarga mangsa berang kerana mereka mendakwa pernah melaporkan kejadian buli itu kepada pihak pengurusan sekolah, namun tiada tindakan diambil.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 28 January 2019 @ 5:57 PM