KEADAAN restoran yang kotor dan tidak teratur. FOTO Mahzir Mat Isa
Mohd Azam Shah Yaacob


RESTORAN mamak di Jalan Metro Perdana Timur 3, di Kepong, Kuala Lumpur diarah tutup 14 hari selepas pemeriksaan mendapati stor penyimpanan makanan di premis itu dihuni lipas.

Notis arahan tutup itu dikeluarkan serta-merta oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dalam Operasi Pemeriksaan Halal di sekitar Kepong hari ini.

Operasi turut disertai Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP); Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM); Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI).

Pengarah KPDNHEP Kuala Lumpur, Ummi Nasrah Othman berkata, sebanyak tiga premis diperiksa dalam operasi bermula jam 12.30 tengah hari itu, dan sebuah premis didapati berada dalam keadaan kotor selain menemui banyak lipas.

“Ketika diperiksa, restoran berkenaan bukan saja tidak teratur, sebaliknya pegawai operasi menemui banyak anak serta tahi lipas di stor menyimpan bahan mentah yang digunakan dalam masakan.

“Jadi, notis penutupan dikeluarkan DBKL terhadap premis itu serta-merta kerana didapati melanggar Undang-Undang Kecil 28(1) Pelesenan Petempatan Makanan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur 2016,” katanya ketika ditemui di lokasi operasi hari ini.

KETUA Penguatkuasa KPDNHEP Kuala Lumpur, Low Swee Hon (dua dari kiri) bersama Timbalan Pengarah Kesihatan Kanan Jabatan Kesihatan dan Alam Sekitar DBKL, Dr Nor Halizam Ismail (tengah) menampal notis penutupan restoran. FOTO Mahzir Mat Isa

Ummi Nasrah berkata, restoran itu turut dikesan melakukan dua lagi kesalahan lain iaitu melanggar Perintah Kawalan Harga (Penandaan Harga Oleh Penjual Runcit) 1993.

Katanya, sementara kesalahan kedua pula mengikut Seksyen 84 Akta Undang-Undang Pentadbiran Islam Wilayah Persekutuan 1993.

“Menerusi Perintah Kawalan Harga 1993, restoran ini didapati tidak mempamerkan tanda harga lengkap dan mengelirukan pengguna.

“Sementara, kesalahan mengikut Akta Undang-Undang Pentadbiran Islam Wilayah Persekutuan 1993 pula kerana meletak tabung bagi tujuan mengutip derma tanpa kebenaran JAWI,” katanya.

Menurutnya, KPNDHEP Kuala Lumpur turut mengeluarkan kompaun RM300 kepada sebuah lagi restoran Jalan Metro Perdana Barat 2 kerana gagal mempamerkan tanda harga.

Mengulas mengenai operasi penguatkuasaan itu, beliau berkata, bermula 11 Januari hingga semalam sebanyak 91 premis di ibu negara diperiksa.

Katanya, sebanyak 79 restoran adalah milik India Muslim dan selebihnya restoran India, Cina Muslim dan tom yam Thailand.

“Sepanjang tempoh itu, KPDNHEP mengesan dua kes kesalahan penggunaan logo halal yang disiasat di bawah Seksyen 16 Akta Perihal Dagangan 2011 kerana menggunakan representasi palsu yang ada unsur perdaya,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 28 January 2019 @ 5:59 PM