FOTO hiasan Arkib NSTP
Azura Abas; Mohd Husni Mohd Noor; Zanariah Abd Mutalib dan Hashini Kavishtri Kannan


TUN Dr Mahathir Mohamad menjelaskan kenyataan rasmi berhubung status sebenar projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) hanya akan dikeluarkan oleh Menteri Kewangan Lim Guan Eng, dalam tempoh terdekat.

Perdana Menteri berkata, persoalan sama ada projek itu batal atau tidak hanya akan dimaklumkan kelak oleh Guan Eng.

“Kita tunggu kenyataan dari dia (Lim Guan Eng) la. Harap semua sabar,” katanya.

Ditanya sama ada satu keputusan sudah dibuat kerajaan mengenai projek berkenaan, Dr Mahathir mengulangi semua maklumat mengenainya akan dijelaskan oleh Menteri Kewangan.

Berhubung keputusan berbeza dikeluarkan mengenai projek ECRL itu sebelum ini, Dr Mahathir berkata, semua orang buat silap dan ia dilihat besar pada mata masyarakat.

“Kadang-kadang semua orang buat silap. Walaupun kita buat silap kecil namun, ia dilihat begitu besar hanya kerana kami sebuah kerajaan baharu,” katanya.

Dalam pada itu, Dr Mahathir turut menafikan penyebaran surat yang menggunakan kepala surat kerajaan berhubung projek berkenaan.

“Sekarang ini, semua orang boleh ambil surat kerajaan dan letak kepala surat kerajaan," katanya.

Semalam, Guan Eng menegaskan segala kenyataan rasmi berhubung projek ECRL, hanya akan dibuat minggu ini.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 28 January 2019 @ 7:23 PM