Nurul Hidayah Bahaudin


SEORANG pekerja binaan warga Bangladesh terperangkap manakala seorang lagi cedera dalam kejadian runtuhan konkrit di bumbung sebuah bangunan dalam pembinaan di Kampung Baru Balakong, Kuala Lumpur, hari ini.

Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Norizham Mohd Nudin berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada 4.39 petang.

“Seramai 40 anggota bersama beberapa jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bandar Tun Hussein Onn, BBP KLIA, BBP Serdang, BBP Balakong dan BBP Hang Tuah dikerahkan ke lokasi kejadian.

“Sebaik tiba di lokasi, kami dimaklumkan seorang lelaki warga Bangladesh dikenali sebagai Abdul, 49, terperangkap dalam runtuhan itu dan seorang lagi pekerja warga Bangladesh dikenali sebagai Iqbal Hussein, 31, cedera di kaki.

“Difahamkan mangsa yang cedera itu diselamatkan orang awam dan dibawa ke Hospital Kajang untuk rawatan lanjut,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian, hari ini.

Beliau berkata, operasi mencari dan menyelamat (SAR) bagi membawa keluar mangsa daripada runtuhan berkenaan sedang giat dijalankan.

Katanya, pihaknya berdepan kesukaran mengeluarkan mangsa kerana pekerja terbabit dihempap runtuhan konkrit di bahagian bumbung bangunan empat tingkat terbabit.

“Sehingga 8.30 malam ini, kerja menyelamat masih giat dijalankan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 28 January 2019 @ 9:11 PM
ANGGOTA bomba berusaha mengeluarkan mangsa yang tersepit dalam runtuhan konkrit di bumbung bangunan dalam pembinaan di Kampung Baru Balakong, Balakong, hari ini. FOTO Nurul Hidayah Bahaudin.