Farah Marshita Abdul Patah


BEKAS Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Mansor, hari ini gagal dalam permohonan mengetepikan syarat penyerahan pasport antarabangsa kepada mahkamah bagi membolehkannya berulang-alik ke Australia untuk melawat dua anak yang sedang menuntut di negara itu.

Hakim Mahkamah Tinggi, Mohd Nazlan Mohd Ghazali, menolak permohonan itu selepas mendengar hujah kedua-dua pihak ketika prosiding sebutan kali pertama di Mahkamah Tinggi selepas kes dipindahkan dari Mahkamah Sesyen.

Mohd Nazlan dalam penghakimannya, mengekalkan keputusan Mahkamah Sesyen yang memerintahkan Tengku Adnan, 69, diikat jamin RM500,000 dengan seorang penjamin, berserta syarat perlu menyerahkan pasport kepada mahkamah sehingga kesnya selesai.

Beliau berkata, permohonan pelepasan sementara pasport boleh dibuat sekiranya tertuduh mempunyai urusan di luar negara.

Terdahulu, peguam Datuk Tan Hock Chuan yang mewakili Tengku Adnan, mengemukakan permohonan untuk mengetepikan syarat penyerahan pasport dengan alasan anak guamnya perlu berulang-alik ke Australia untuk melawat dua anak perempuannya yang sedang belajar di negara itu selainmempunyai urusan perniagaan di Indonesia.

Hock Chuan berkata, pihaknya mencadangkan jumlah jaminannya dinaikkan selain bersedia melaporkan diri ke pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), pada setiap bulan.

Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya, Julia Ibrahim, membantah permohonan itu dengan alasan tertuduh boleh membuat permohonan untuk mendapatkan pelepasan sementara pasportnya atas urusan perniagaan atau keluarga.

Terdahulu, Tengku Adnan mengekalkan pengakuan tidak bersalah terhadap tuduhan menerima rasuah berjumlah RM1 juta, berhubung ratio plot berkaitan pembangunan Lot 228, Jalan Semarak, Kuala Lumpur.

Berdasarkan kertas pertuduhan, dia didakwa menerima rasuah berjumlah RM1 juta daripada Tan Eng Boon melalui cek milik syarikat Pekan Nenas Industries Sdn Bhd yang didepositkan ke dalam akaun CIMB Bank miliknya.

Perbuatan itu sebagai upah meluluskan permohonan Nucleus Properties Sdn Bhd (sekarang dikenali sebagai Paragon City Development Sdn Bhd) untuk menaikkan ratio plot berkaitan dengan pembangunan Lot 228, Jalan Semarak, Kuala Lumpur.

Dia dituduh melakukan kesalahan itu di CIMB Bank Berhad, Cawangan Pusat Dagangan Dunia Putra, Level 2, Podium Block, Pusat Dagangan Dunia Putra, Jalan Tun Ismail, Kuala Lumpur, pada 27 Disember 2013.

Pendakwaan terhadapnya dibuat mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun, denda tidak kurang daripada lima kali ganda nilai suapan, atau mana lebih tinggi.

Tengku Adnan turut mengaku tidak bersalah atas pertuduhan pilihan iaitu sebagai seorang Menteri Wilayah Persekutuan, menerima untuk dirinya RM1 juta daripada Eng Boon melalui cek Public Bank milik syarikat Pekan Nenas yang didepositkan ke dalam akaun CIMB Bank miliknya, yang diketahui Eng Boon sebagai seorang Pengarah di syarikat Nucleus Properties yang ada perhubungan dengan kerja rasminya, di tempat dan tarikh sama.

Pendakwaan bagi kesalahan itu dibuat mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 28 January 2019 @ 9:53 PM
TENGKU Adnan hadir pada kes bicara atas dua pertuduhan menerima rasuah di Mahkamah Tinggi Jenayah, Kuala Lumpur. FOTO/ASWADI ALIAS.
TENGKU Adnan hadir pada kes bicara atas dua pertuduhan menerima rasuah di Mahkamah Tinggi Jenayah, Kuala Lumpur. FOTO/ASWADI ALIAS.