AGENSI Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Tanjung Sedili menahan sebuah kapal tangki kerana bersauh tanpa kebenaran di Teluk Ramunia, Kota Tinggi. FOTO Ihsan Maritim Malaysia


AGENSI Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Maritim Tanjung Sedili (ZMTS) menahan sebuah kapal tangki yang berlabuh tanpa kebenaran di kedudukan kira-kira 4 batu nautika tenggara Teluk Ramunia, Kota Tinggi, pagi tadi.

Pengarah ZMTS, Kepten Maritim Mohd Zulfadli Nayan berkata, dalam kejadian kira-kira jam 10.50 pagi itu, sepasukan anggota dan pegawai yang menjalankan Ops Khas Pagar Laut 1/2019 Tahun Baharu Cina menemui sebuah kapal tangki di lokasi.

Katanya, pasukan berkenaan melakukan pemeriksaan dan mendapati kapal tangki itu tiada kebenaran bersauh daripada Pengarah Laut Malaysia.

“Kapal tangki itu berdaftar di Basseterre dan dikendalikan enam kru termasuk nakhoda berusia 25 hingga 50 tahun.

“Siasatan mendapati kesemua kru dan nakhoda adalah warga Indonesia dan kes disiasat mengikut Seksyen 491B(l) Ordinan Perkapalan Saudagar 1952 kerana bersauh tanpa kebenaran.

“Jika sabit kesalahan, mereka boleh didenda tidak melebihi RM100,000 atau penjara tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya,” katanya.

Menurutnya, tiga kru kapal tangki berkenaan dibawa ke pejabat ZMTS bagi membantu siasatan.

Zulfadli berkata, Maritim Malaysia akan terus mempertingkatkan kawalan keselamatan dan penguatkuasaan undang-undang maritim di perairan negara.

Pada masa sama, katanya, Maritim Malaysia menasihatkan pengusaha atau pemilik kapal supaya menjauhi Kawasan Larangan Bersauh kerana boleh membahayakan navigasi serta kerosakan kabel komunikasi dasar laut.

“Semua pengusaha dinasihatkan memohon kebenaran bersauh daripada Jabatan Laut Malaysia dan Lembaga Pelabuhan Johor sebelum berlabuh berikutan cuaca buruk sejak kebelakangan ini,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 28 January 2019 @ 11:31 PM