ANGGOTA Pejabat Kesihatan Daerah Tumpat merampas barang makanan tamat tempoh dan tidak mempunyai label yang betul dari gudang pembekal dan pemborong di Wakaf Bharu, Tumpat, hari ini. FOTO Siti Rohana Idris
ANGGOTA Pejabat Kesihatan Daerah Tumpat merampas barang makanan tamat tempoh dan tidak mempunyai label yang betul dari gudang pembekal dan pemborong di Wakaf Bharu, Tumpat, hari ini. FOTO Siti Rohana Idris
Siti Rohana Idris


MI segera, laici dalam tin, air berkarbonat, cili giling dan biskut antara barang makanan yang tamat tarikh luput dan masih dijual di sebuah gudang pemborong di Wakaf Bharu, Tumpat.

Ketika ditanya oleh anggota Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Tumpat, pemborong yang berusia 50-an memberi alasan barangan itu dikumpulkan untuk mengembalikannya kepada pembekal.

Bagaimanapun, tindakan mempamerkan barangan berkenaan di rak jualan menimbulkan keraguan kerana ia mungkin dibeli pengguna yang tidak memeriksa terlebih dahulu tarikh luput.

Pegawai PKD Tumpat, Dr Faizan Ghazali berkata, semua barang makanan itu dirampas dan dibawa ke PKD.

“Kita membuat serbuan di gudang ini bagi Operasi Penguatkuasaan Akta Makanan 1983 dan Peraturan Makanan 1985 (Ops Tahun Baharu Cina).

“Selain itu 14 lagi kedai pemborong diserbu di sekitar Tumpat dan Wakaf Bharu bagi memastikan barangan yang dijual mematuhi peraturan,” katanya ketika ditemui hari ini.

Beliau berkata, operasi yang dilakukan serentak di seluruh negara itu memfokuskan kesalahan pelabelan, pembungkusan serta tarikh luput makanan.

Dalam serbuan itu sebanyak 862 barangan makanan dirampas bernilai RM6,232.05.

Dr Faizan berkata, semua barang makanan yang dirampas dibawa ke PKD Tumpat dan pemilik premis diberi tempoh dua minggu untuk menyediakan bukti pelabelan yang betul sebelum barang dapat dituntut.

“Bagaimanapun sebaik dituntut kami tidak membenarkan barangan itu dijual semula.

“Sekiranya tidak dituntut dalam tempoh dua minggu, barang itu akan dilupus,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 29 January 2019 @ 12:23 AM