FOTO hiasan Arkib NSTP
Azura AbasMohd Husni Mohd Noor dan Irwan Shafrizan Ismail dan Hashini Kavishtri Kannan

BAYARAN pampasan bagi pembatalan kontrak bersama China Communications Construction Group Ltd (CCCC) tidak sebesar jumlah hutang yang akan ditanggung kerajaan sekiranya melaksanakan projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL), kata Tun Dr Mahathir Mohamad.

Perdana Menteri berkata demikian sekali gus memberi bayangan mengenai pembatalan kontrak bagi pelaksanaan projek berkenaan.

“Jumlah bayaran pampasan yang besar tidaklah sebesar jumlah hutang yang kita akan tanggung untuk tempoh 30 tahun akan datang,” katanya pada sidang media selepas pelancaran Pelan Anti Rasuah Nasional (NACP) 2019-2023 di Putrajaya, hari ini.

Ditanya mengenai sama ada benar projek ECRL akan dibatalkan, Dr Mahathir sekali lagi menegaskan status sebenar projek ECRL hanya akan dikeluarkan oleh Menteri Kewangan, Lim Guan Eng

“Guan Eng akan memberi gambaran jelas nanti. Kita yang seperti anda tahu dibebani hutang yang tinggi, jadi kita tidak boleh bayar terus, jadi kita perlu memotong sedikit perbelanjaan dibuat oleh kerajaan terdahulu.

“Ia juga bukan kerana kita tidak mahu menghormati kontrak dibuat, cuma kita sememangnya tidak mampu membayarnya. Kontrak ini akan memberikan kita kos lebih ratusan bilion ringgit, ia hanya akan membuat kita miskin,” katanya.

Mengulas lanjut, Dr Mahathir berkata, pihak yang terbabit berkaitan projek berkenaan juga diminta memahami tindakan dibuat kerajaan.

“Ia bukan bermakna kita mahu mengecewakan mereka atau membuang kontrak berkenaan, tetapi kerana kita sememangnya mempunyai kekangan kewangan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 29 January 2019 @ 11:41 AM