Dziyaul Afnan Abdul Rahman


TIGA anggota ‘Geng Penyamun Tampan’ yang dikehendaki polis berjaya diberkas minggu lalu, selepas terbabit dalam beberapa kejadian samun dan pecah rumah di sekitar Kangar sejak Disember lalu.

Ketua Polis Perlis, Datuk Noor Mushar Mohd berkata, ketiga suspek berusia antara 22 hingga 30 tahun yang berperwatakan menarik itu ditahan di dua lokasi berasingan iaitu di Changlun dan Air Hitam, Kedah pada 14 Januari lalu.

“Tangkapan di Changlun pada jam 6.50 petang dilakukan ke atas dua lelaki berusia 22 dan 28 tahun ketika mereka menaiki kenderaan.

“Suspek ketiga ditahan di rumahnya di Ayer Hitam, Kedah pada hari yang sama berdasarkan maklumat yang diberikan dua rakannya,” katanya pada satu sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perlis hari ini.

Noor Mushar berkata, ketiga-tiga suspek berperwatakan menarik selain bekerja sebagai mekanik dan pembantu restoran bagi mengaburi orang awam bahawa mereka adalah penjenayah yang dikehendaki.

“Pihak polis menemui beberapa parang dan pedang, tujuh beg tangan pelbagai jenama, sejumlah barangan kemas dan seunit komputer riba di dalam bonet kereta milik suspek yang bernilai RM50,000 dipercayai barangan hasil rompakan.

“Hasil ujian air kencing juga mendapati ketiga suspek positif dadah jenis morfin serta mempunyai pelbagai rekod jenayah lampau seperti samun, peras ugut, pecah rumah dan penyalahgunaan dadah,” katanya.

Beliau berkata, suspek direman sehingga 1 Februari ini bagi membantu siasatan dan kes disiasat mengikut Seksyen 395, 397, 394, 457 dan 29 (1) Kanun Keseksaan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 29 January 2019 @ 4:31 PM
Noor Mushar (tiga dari kanan) menunjukkan senjata yang dirampas dalam dua operasi berasingan ketika mengadakan sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perlis . FOTO Amran Hamid.