Rakaman video yang tular di Facebook memperlihatkan lelaki mengaku polis menunjukkan pistol kepada orang awam. FOTO Facebook
Rakaman video yang tular di Facebook memperlihatkan lelaki mengaku polis menunjukkan pistol kepada orang awam. FOTO Facebook
Ibrahim Isa


POLIS menubuhkan pasukan khas menyiasat dakwaan seorang pegawai polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kulai, Johor Bahru yang dikatakan mengugut dan menunjukkan pistol kepada orang awam.

Timbalan Ketua Polis Johor, Datuk Mohd Kamarudin Md Din berkata, pihaknya mengetahui video berdurasi 2.32 minit yang tular di akaun Facebook milik, Olan Semen, pada 10.54 pagi semalam.

Menurutnya, dalam rakaman video itu, kelihatan lelaki berdiri di luar kereta mangsa dan menunjukkan sepucuk pistol di pinggang serta mengeluarkan kenyataan berbaur ugutan.

“Pada masa sama, suspek berkenaan mengaitkan dirinya dengan seorang pegawai kanan polis yang berkhidmat di IPD Kulai.

“Berikutan itu, kami akan menyiasat kejadian berkenaan kerana ia mencemarkan nama baik dan imej Polis Diraja Malaysia (PDRM),” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Mohd Kamarudin berkata, siasatan menyeluruh akan dijalankan dan tindakan undang-undang akan diambil jika ada salah guna kuasa membabitkan pegawai polis di Johor.

Berikutan itu, katanya, pihaknya memohon mangsa dalam kejadian itu tampil membuat laporan di balai polis berhampiran bagi memudahkan siasatan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 29 January 2019 @ 4:48 PM