MUJAHID Yusof. FOTO Zunnur Al Shafiq
Fairul Asmaini Mohd Pilus


PELANTIKAN Ahli Undangan Negeri (ADUN) Paloh yang mewakili DAP, sebagai anggota lembaga pemegang amanah Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) tidak seharusnya menjadi pertikaian.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof berkata, ini kerana ADUN terbabit, Sheikh Omar Ali dilantik berdasarkan merit dan kelayakannya dalam bidang agama.

Katanya, YADIM sebelum ini sudah membuat pelantikan awal, namun masih terdapat satu kekosongan yang perlu diisi.

“Selepas mendapat persetujuan Perdana Menteri, Sheikh Omar dipilih atas kelayakannya dalam kepakaran agama untuk menyumbang idea.

“Sepatutnya tidak perlu wujud persepsi (negatif) kerana pertamanya, Sheikh Omar adalah orang Islam dan dia juga memiliki sumbangan serta idea yang baik.

“Saya kenal sejak zaman dia belajar lagi dan Sheikh Omar juga seorang aktivis, jadi jangan kita nafikan kebolehannya hanya semata-mata dia adalah ahli DAP. Itu tidak betul,” katanya pada sidang media selepas sesi Town Hall Bersama Penyelidik dan Media di Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM), Kuala Lumpur, hari ini.


MUJAHID pada Sesi Townhall Menteri bersama Penyelidik dan Pengamal Media di IKIM. FOTO Zunnur Al Shafiq

Mengulas mengenai penjualan barangan khurafat yang kini didapati dijual secara terbuka seperti didedahkan media, Mujahid berkata, kerajaan sentiasa melakukan pemantauan.

Katanya, pemantauan itu bukan sahaja membabitkan aktiviti jualan malah amalan khurafat yang diamalkan di negara ini.

“Kerajaan persekutuan menerusi agensi, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) akan berkongsi maklumat dengan kerajaan negeri.

“Ini kerana, jika ia berlaku di Pulau Pinang contohnya, ia berada di bawah bidang kuasa jabatan agama negeri terbabit.

“Dalam isu berkenaan, fungsi JAKIM adalah kepada perkongsian maklumat atau nasihat sahaja dan tidak membabitkan penguatkuasaan,” katanya.

Sementara itu, Mujahid berkata, sesi Town Hall berkenaan diadakan bagi menjelaskan tiga teras utama, Rahmatan Lil Alamin, Maqasid Syariah dan Model Malaysia yang menjadi gagasan pentadbiran Islam di negara ini.

Beliau berkata, selain memberi maklumat dan kefahaman yang lebih tepat, sesi wacana lebih dua jam itu juga memberi ruang kepada peserta untuk berdialog serta mengemukakan soalan berkaitan.

“Sesi Town Hall itu mendapat maklum balas positif dan semua pandangan mahu pun cadangan yang dikemukakan akan diteliti bagi menambah baik tiga teras berkenaan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 29 January 2019 @ 6:10 PM