Mohd Helmi Irwadi Mohd Nor


SEBANYAK 314 premis dan bangunan di Negeri Sembilan diberi notis arahan bagi menjalankan penyelenggaraan berkaitan aspek keselamatan kerana terdedah kepada risiko kebakaran, tahun lalu.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Negeri Sembilan, Norazam Khamis, berkata notis itu membabitkan 500 pemeriksaan dibuat dengan 143 daripadanya dilakukan ketika musim perayaan.

“Ketika sambutan Tahun Baharu Cina tahun lalu, sebanyak 15 hotel, 20 pasar raya, 13 dewan dan 10 restoran diperiksa yang menyaksikan 19 premis dibawa ke mahkamah kerana gagal mendapat perakuan JBPM.

“359 premis dikenal pasti perlu mendapatkan sijil perakuan bomba untuk beroperasi sepanjang tahun membabitkan pasar raya, kilang, hotel, rumah ibadat, sekolah dan bangunan kerajaan,” katanya pada sidang media selepas menjalankan pemeriksaan kebakaran sempena Tahun Baharu Cina di PPusat Beli-Belah AEON Nilai, hari ini.

Norazam berkata, premis yang perlu mendapatkan perakuan adalah bangunan berkeluasan 2,001 meter persegi, pejabat seluas 10,000 meter persegi, kilang 2,000 meter persegi, hotel yang memiliki 21 bilik serta asrama empat tingkat.

Beliau berkata, jika gagal mendapatkan perakuan itu, pemilik boleh didakwa mengikut Seksyen 33 Akta 341 (Akta Bomba) yang memperuntukkan denda sehingga RM50,000 atau penjara sehingga lima tahun.

“Bagi tahun ini, pemeriksaan dilakukan sempena Tahun Baharu Cina bermula Sabtu lalu hingga 26 Februari ini yang dibahagikan kepada empat bahagian membabitkan Ibu Pejabat Bomba Negeri Sembilan, Zon Seremban, Zon Port Dickson dan Zon Jempol.

“Pemeriksaan menekankan pemilikan sistem penggera yang sempurna, laluan keluar masuk ke premis dan aspek keselamatan kebakaran,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 29 January 2019 @ 9:24 PM
NORAZAM (daru dari kiri) memeriksa pili bomba sempena Program Pemeriksaan Bangunan Bagi Tujuan Menghapuskan Bahaya Kebakaran 2019 JBPM Negeri Sembilan di AEON Mall, Nilai, Negeri Sembilan, hari ini. Hadir sama, Penolong Pengarah Bahagian Keselamatan Kebakaran JBPM negeri, Jamaluddin Marawi (kiri). FOTO Iqmal Haqim Rosman.