ANGGOTA Penguat kuasa Majlis Perbandaran Kuantan (MPK) memeriksa kawasan dapur restoran 24 jam yang tidak diuruskan dengan bersih dalam operasi di sekitar Kuantan. FOTO Ihsan MPK
ANGGOTA Penguat kuasa Majlis Perbandaran Kuantan (MPK) memeriksa kawasan dapur restoran 24 jam yang tidak diuruskan dengan bersih dalam operasi di sekitar Kuantan. FOTO Ihsan MPK
Mohamad Azim Fitri Abd Aziz


KAWASAN penyediaan makanan berdekatan tandas selain kebersihan bahagian dapur terabai antara kesalahan dikesan dilakukan beberapa premis restoran di sekitar Kuantan.

Tindakan itu bukan saja menyalahi syarat lesen malah kebersihan penyediaan makanan restoran itu juga boleh dipertikai.

Tidak mahu berkompromi dengan isu kebersihan membabitkan premis makanan, Majlis Perbandaran Kuantan (MPK) hari ini, menjalankan pemeriksaan mengejut ke atas tujuh restoran di sekitar daerah itu.

Ketua Seksyen Perhubungan Awam dan Korporat MPK, Nor Kamawati Kamal berkata, tujuh kompaun dikeluarkan pihaknya hasil pemeriksaan ke atas tujuh restoran kerana melakukan pelbagai kesalahan termasuk tiga kes tidak memiliki kad kesihatan pekerja, dua kes masing-masing melanggar syarat lesen dan beroperasi di kaki lima premis.

“Hasil pemeriksaan juga mendapati ada pengusaha restoran yang melanggar syarat dengan melakukan kerja pembersihan pinggan di kaki lima, kita turut memeriksa tahap kebersihan penyediaan makanan termasuk kebersihan pekerja itu sendiri.

“MPK turut mengeluarkan tujuh notis amaran kepada pengusaha premis makanan dan perlu melaksanakan ketetapan yang diberikan MPK dalam masa seminggu,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, operasi yang bermula pada jam 9 pagi hingga 12 tengah hari itu turut mengenakan kompaun terhadap sebuah pusat urut atas kesalahan melanggar syarat lesen.

Katanya, operasi turut disertai Pengerusi Jawatankuasa Pelesenan MPK, Datuk Wan Solihin Wan Hassan, Ahli Majlis MPK, Mohd Fadziree Faisal dan 24 anggota daripada bahagian penguatkuasaan, pelesenan dan undang-undang.

“MPK ingin menasihatkan pengusaha restoran terutama yang beroperasi 24 jam supaya mengambil masa sekurang-kurangnya satu jam menutup premis mereka untuk kerja pembersihan,” katanya.

Nor Kamawati berkata, tindakan kompaun dilakukan mengikut Seksyen 107 Akta Kerajaan Tempatan 1976.

Katanya, kegagalan membayar kompaun akan menyebabkan lesen perniagaan mereka boleh dibatalkan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 29 January 2019 @ 9:50 PM