Syabu yang disorokkan dalam guni beras yang dirampas polis. FOTO Ihsan Polis
Ekhwan Haque Fazlul Haque


BIMBANG kegiatan haram mereka diketahui polis, penganggur menyorokkan 80 paket syabu di dalam guni beras di sebuah pondok di Kampung Entangis, Jalan Medamit, Limbang kelmarin.

Namun rahsia lelaki Indonesia berusia 39 tahun itu akhirnya terbongkar selepas rumah yang didiaminya diserbu polis jam 5 petang kelmarin.

Ketua Polis Daerah Limbang, Superintendan Mohd Bukhori Saffai berkata, serbuan dijalankan sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah Limbang hasil risikan dan maklumat awam.

Menurutnya, ketika serbuan tiada bahan terlarang ditemui di rumah itu namun soal siasat kemudian membawa polis ke kebun di belakang rumah suspek.

“Suspek membawa polis ke sebuah pondok di kebun itu sebelum menemui bungkusan guni beras berisi syabu.

“Syabu itu dibungkus dalam 80 tiub kecil bernilai RM8,000 dipercayai untuk dijual kepada penagih tempatan,” katanya hari ini.

Mohd Bukhori berkata, suspek dipercayai menjalankan kegiatan pengedaran dadah itu sejak beberapa bulan lalu.

Katanya, turut ditahan wanita tempatan berusia 37 tahun namun status pasangan itu masih dalam siasatan polis.

“Polis juga turut merampas pikap Ford Ranger, motosikal Yamaha, cincin emas dan wang tunai daripada suspek.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Aktan Dadah Berbahaya 1952 yang boleh dikenakan hukuman gantung sampai mati jika sabit kesalahan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 30 January 2019 @ 2:21 PM