FAIZAL (kiri) didenda RM4,200 oleh Mahkamah Majistret Kulai. Mohd Azren  Jamaludin
FAIZAL (kiri) didenda RM4,200 oleh Mahkamah Majistret Kulai. Mohd Azren Jamaludin
Mohd Sabran Md Sani


PEMANDU lori didenda RM4,200 oleh Mahkamah Majistret Kulai, hari ini atas pertuduhan membawa 14 lembu ke kawasan kawalan penyakit kuku dan mulut tanpa kebenaran Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) Johor, November tahun lalu.

Majistret Ahmad Farid Ahmad Kamal menjatuhkan hukuman itu selepas tertuduh Faizal Jumari, 31, mengaku bersalah selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah jam 11 pagi.

Mahkamah turut menetapkan hukuman penjara empat bulan jika gagal menjelaskan denda.

Bagi pertuduhan itu, Faizal didakwa membawa 14 lembu hidup menggunakan lori ke kawasan diwartakan sebagai kawasan kawalan penyakit kuku dan mulut tanpa perakuan kebenaran pindah daripada Pengarah JPV Negeri Johor.

Dia didakwa melakukan perbuatan itu di tepi jalan Kilometer J262, Jalan Kulai-Kota Tinggi jam 5 petang, 15 November tahun lalu.

Bagi perbuatan itu, tertuduh didakwa dengan pertuduhan mengikut Peruntukan Perenggan 2(a)(iii) dan Peruntukan Perenggan 2(a)(iv) Kawasan Kawalan Penyakit Kuku dan Dalam Negeri Johor 2005 (JPU 10).

Ia boleh dihukum mengikut mengikut Subseksyen 36(7) Akta Binatang (Pindaan) 2013 (Akta A1452).

Kesalahan itu memperuntukkan hukuman denda sehingga RM15,000, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa JPV Negeri Johor Mohd Faiz Ajis.

Terdahulu tertuduh yang tidak diwakili peguam memohon hukuman ringan kerana melakukan kesalahan pertama dan perlu menanggung keluarga.

“Saya baru pertama kali melakukan kesalahan membawa lembu dan tidak tahu ia menjadi kesalahan,” katanya.

Bagaimanapun, pihak pendakwaan mencadangkan hukuman berat mengambil kira jumlah lebih dibawa dan status kesihatan haiwan itu ketika ditahan diragui.

“Memandangkan jumlahnya 14 ekor lembu dan status kesihatan diragui ketika proses pemindahan lembu itu, saya mencadangkan hukuman berat dikenakan terutama bagi mengelak penyebaran penyakit.

“Johor sebuah negeri berjiran dengan Singapura dan tindakan pengawalan perlu bagi mengelak hubungan dagangan kedua-dua negara terjejas,” katanya.

Ahmad Farid yang mendengar rayuan tertuduh mempersoalkan tindakannya membawa lembu berkenaan tanpa permit.

“Semua orang tahu, nak bawa lembu kena ada permit dan dalam kes ini bukan seekor tetapi 14 ekor.

“Kenapa kamu tidak buat permit? Lembu kamu bawa banyak, takkan kamu tidak tahu?” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 30 January 2019 @ 2:37 PM