Tun Daim menyampaikan ucapan di UiTM hari ini. FOTO Roslin Mat Tahir
Khairul Azran Hussin


BEKAS Pengerusi Majlis Penasihat Kerajaan, Tun Daim Zainuddin menegur sikap sesetengah menteri yang suka bergaduh sesama sendiri secara terbuka.

Beliau berkata, jika perkara itu terus berlaku, ia hanya menimbulkan rasa muak rakyat terhadap sikap menteri kerajaan baharu.

“Kita faham ramai menteri baharu dan mereka ini sudah 50 tahun jadi pembangkang.

“Namun apabila menang (pilihan raya umum) pun, mereka masih nak gaduh sesama sendiri.

“(Kalau gaduh) enam bulan pertama tidak apa lah, tetapi bila lama-lama rakyat naik muak,” katanya.

Beliau berkata demikian pada program ‘Luncheon Talk Atmosfera Ekonomi Bumiputera Masa Hadapan bersama Tun Daim Zainuddin’ di Dewan Sri Budiman Universiti Teknologi MARA (UiTM) Shah Alam hari ini.

Hadir sama Naib Canselor UiTM, Prof Emeritus Datuk Dr Hassan Said; Ahli Lembaga Pengarah UiTM, Datuk Mohd Zaini Hassan dan Pengarang Urusan Kumpulan, Berita dan Hal Ehwal Semasa Rangkaian Televisyen Media Prima, Datuk Manja Ismail.

Daim turut mengingatkan menteri supaya menjalin kerjasama erat bersama penjawat awam serta agensi di bawah kementerian.

“Menteri kena buat kerja secara bersatu padu...kena panggil penjawat awam serta agensi duduk bersama.

“Penjawat awam semuanya berkebolehan serta memiliki kelulusan yang baik.

“Ada menteri buat kerja tanpa minta pandangan. Apabila ini berlaku, penjawat awam tadi akan lepas tangan...ini puncanya banyak perkara gagal dilaksanakan dengan baik,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) ibarat candu yang ditagih kebanyakan masyarakat Melayu.

“Sebelum ini ‘cash’ sudah menjadi ‘king’. ‘King’ itu mesti ada berbilion ringgit. ‘King’ menjadi penipu dan pencuri sedangkan penyokong kangkung terus menyokong ‘king’.

“Akhirnya rakyat naik benci, ‘cash’ ke mana, ‘king’ ke mana. Rakyat mahukan pemimpin beramanah, bertanggungjawab, pentingkan rakyat dan negara.

“Pada 9 Mei lalu, rakyat berjaya bebaskan rakyat dan rakyat merdeka semula,” katanya.

Mengulas lanjut, Daim berkata, semua pihak perlu menerima hakikat bahawa Dasar Ekonomi Baru (DEB) gagal mencapai matlamat.

“Hampir 50 tahun pelaksanaan DEB, majoriti masyarakat Melayu masih ‘kais pagi makan pagi’.

“Selain itu, kajian mendapati 75 peratus daripada kumpulan B40 ialah Melayu. Masih ramai Melayu mengharapkan subsidi kerajaan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 30 January 2019 @ 2:55 PM