T N Alagesh dan Raja Norain Hidayah Raja Abdul Aziz


KERAJAAN negeri mengumumkan esok cuti peristiwa sempena pemasyhuran Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-16.

Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdi Wan Ismail berkata, esok adalah hari yang bersejarah buat rakyat Pahang.

“Cuti peristiwa ini diberi memandangkan 31 Januari ini adalah tarikh penuh bersejarah kepada negeri dan seluruh rakyat Pahang...dengan pelantikan Sultan Pahang sebagai Yang di-Pertuan Agong.

“Kali terakhir detik bersejarah seumpama ini dirasai ialah empat dekad lalu, apabila Paduka Ayahanda Sultan Ahmad Shah dilantik sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-tujuh untuk tempoh lima tahun antara 26 April 1979 hingga 25 April 1984.

“Ia juga sebagai terjemahan kepada kesyukuran dan kegembiraan oleh kerajaan negeri dan rakyat di seluruh daerah atas pelantikan Al Sultan Abdullah sebagai Yang di-Pertuan Agong.

“Moga dengan ini tempoh lima tahun pemerintahan baginda akan disempurnakan dengan sebaik-baiknya demi kemakmuran negara dan kesejahteraan rakyat di seluruh negara,” katanya hari ini.


Al-Sultan Abdullah dimasyhurkan sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-16. FOTO Muhd Asyraf Sawal

Beliau juga mengajak rakyat terutamanya penjawat awam untuk hadir ke Pangkalan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) pada jam 7 pagi bagi meraikan keberangkatan baginda dan Tengku Ampuan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah menaiki kapal terbang untuk ke Kuala Lumpur.

Al Sultan Abdullah dipilih sebagai Yang Di-Pertuan Agong pada Mesyuarat Majlis Raja-Raja ke-251 (Khas) di Istana Negara, Kuala Lumpur, 24 Januari lalu.

Baginda menggantikan Sultan Muhammad V yang meletak jawatan sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-15 pada 6 Januari lalu selepas memegang tampuk pemerintahan negara sejak 13 Disember 2016.

Istiadat melafaz dan menandatangani surat sumpah jawatan sebagai Yang di-Pertuan Agong akan berlangsung esok di Kuala Lumpur.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 30 January 2019 @ 4:09 PM