FOTO Hiasan
Nur Lela Zulkipli
nurlela@hmetro.com.my


SURI rumah didakwa di Mahkamah Sesyen Petaling Jaya, hari ini atas dua pertuduhan memiliki wang hasil aktiviti haram berjumlah RM1.2 juta, dua tahun lalu.

Tertuduh, Chang Lin San, 35, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas kedua-dua pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim Mabel S Muttiah.

Wanita itu didakwa memiliki RM950,000 hasil aktiviti haram daripada akaun miliknya pada 13 September hingga 2 Oktober 2017 lalu di Hong Leong Bank, Cawangan Jalan Besar, Susur 1, Seri Kembangan.

Bagi tuduhan kedua, tertuduh didakwa memiliki wang sejumlah RM250,000 hasil aktiviti haram daripada akaun miliknya pada 15 September hingga 2 Oktober 2017 di Hong Leong Bank, Cawangan Taman Serdang Perdana, Seri Kembangan.

Kedua-dua kesalahan itu didakwa mengikut Seksyen 4(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA)(Akta 613) yang membawa hukuman penjara tidak melebihi 15 tahun dan denda lima kali ganda nilai hasil daripada aktiviti haram atau RM5 juta, yang mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Idamasliza Maarof menawarkan jaminan RM120,000 dengan seorang penjamin, namun tertuduh yang diwakili peguam Lim Yoi Ping memohon jaminan rendah.

Difahamkan, pengadu meminta bantuan tertuduh untuk membeli hartanah milik Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) melalui syarikat milik isterinya.

Bagaimanapun, pembayaran kemudian dibuat tanpa dimasukkan ke dalam akaun syarikat, sebaliknya ke akaun peribadi tertuduh.

Mangsa kemudian mahu membatalkan pembelian hartanah itu, namun tertuduh memberi pelbagai alasan selain tiada dokumen dikemukakan berkaitan urusan berkenaan.

Mahkamah menetapkan 12 Februari ini sebagai tarikh sebutan semula kes.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 30 January 2019 @ 7:34 PM