SHAARIIBUU Setev bersama Namiraa hadir memberi keterangan di Mahkamah Tinggi Shah Alam. FOTO Sairien Nafis
Murni Wan Omar


SEPUPU kepada mendiang Altantuya Shaariibuu mendakwa wanita itu datang ke Malaysia untuk meminta upah bagi kerja terjemahan membabitkan dokumen pembelian kapal selam daripada bahasa Inggeris ke bahasa Russia.

Perkara itu dimaklumkan oleh Namiraa Gerelmaa, 35, ketika memberi keterangan di Mahkamah Tinggi Shah Alam hari ini, dalam kes saman dikemukakan oleh keluarga Altantuya terhadap tiga lelaki termasuk penganalisis politik, Abdul Razak Baginda dan kerajaan Malaysia.

Menjawab soalan peguam Sangeet Kaur Deo yang mewakili keluarga Atantuya, dia berkata, perkara itu dimaklumkan sendiri oleh wanita itu ketika mereka datang ke Malaysia bersama.

“Dia (Altantuya) beritahu Malaysia mahu membeli kapal selam daripada pihak Russia dan pertemuan itu diadakan di Perancis.

“Abdul Razak mahu dia (Altantuya) melakukan kerja terjemahan daripada bahasa Inggeris ke bahasa Russia dan sebaliknya hasil daripada pertemuan itu.

“Altantuya beritahu ada perjanjian berhubung perkara itu,” katanya.

Terdahulu, Namiraa mendakwa diajak oleh Altantuya untuk ke Malaysia bersama Urintuya Gal-Ochir.

“Ketika itu saya setuju untuk ikut kerana mahu melihat negara ini. Sebelum ini saya tidak mengetahui Altantuya mempunyai hubungan dengan Abdul Razak Baginda atau kenapa dia mahu datang ke sini.

“Kami merancang sebulan sebelum datang ke sini. Hanya selepas tiba di sini Altantuya memberitahu dia mempunyai hubungan dengan Abdul Razak dan mahu mengambil bayaran membabitkan kerja terjemahan yang dilakukannya,” katanya.

Namiraa mendakwa Altantuya ada memberitahu dia mencintai Abdul Razak dan mahu mempunyai anak lelaki bersama.

“Altantuya beritahu dia pertama kali bertemu dengan Abdul Razak di Hong Kong dan bermalam bersama. Dia (Altantuya) dakwa Abdul Razak pernah memperkenalkan dirinya sebagai isteri Mongolia kepada seorang peguam.

“Kata Altantuya, Abdul Razak mahu memberi hartanah kepadanya. Altantuya juga gembira apabila masalah visa untuk masuk ke Amerika Syarikat juga diselesaikan oleh Abdul Razak,” katanya yang mendakwa pernah menjadi wartawan sambilan.

Namiraa berkata, Altantuya memberitahu bahawa kedatangannya adalah untuk mengambil bayaran bagi kerja yang dibuat.

“Altantuya gagal menghubungi Abdul Razak sebab itu dia datang ke sini. Dia kata tidak takut dan jika Abdul Razak mahu mempergunakannya Altantuya tidak mahu membenarkan ia berlaku.

“Altantuya ada menunjukkan gambar Abdul Razak bersama seorang menteri kepada saya dan Urintuya,” katanya.

Namiraa dalam keterangannya mengesahkan bahawa Altantuya pernah berkahwin dengan seorang penyanyi terkenal warga Mongolia dan mempunyai seorang anak.

Sementara itu menjawab soalan, peguam Manjeet Singh Dhillon yang mewakili Abdul Razak, Namiraa mengesahkan bahawa Altantuya ada memberi senarai nama untuk dihubungi sekiranya dia tidak pulang pada hari kejadian.

“Altantuya beritahu Abdul Razak setuju untuk berjumpanya. Dia pergi seorang diri dan kali terakhir dapat dihubungi Altantuya beritahu dia berada di hadapan rumah Abdul Razak.

“Dia minta kami hubungi nombor itu dan dalam masa yang sama ada memaklumkan mungkin bermalam di rumah lain milik Abdul Razak,” katanya.

Namiraa bagaimanapun menafikan Altantuya adalah seorang yang suka mereka atau membesarkan berhubung sesuatu perkata.

Berhubung jam emas putih yang didakwa diberi oleh Abdul Razak, Namiraa berkata, Altantuya ada bercerita berhubung perkara itu bagaimanapun tidak pernah melihatnya sendiri.

Namiraa memberi keterangan dalam kes saman yang dikemukakan oleh bapa Altantuya iaitu Dr Shaariibuu Setev, 69, dan dua lagi terhadap bekas pegawai dan anggota polis Cif Inspektor Azilah Hadri serta Koperal Sirul Azhar Umar, penganalisis politik Abdul Razak Abdullah Baginda dan Kerajaan Malaysia.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 30 January 2019 @ 7:36 PM