Orang ramai membantu menutup mayat Che Wan Mohd Noor (gambar kecil). FOTO Rosli Ilham
Orang ramai membantu menutup mayat Che Wan Mohd Noor (gambar kecil). FOTO Rosli Ilham
Rosli Ilham


WARGA emas maut, manakala seorang wanita cedera dalam kemalangan membabitkan tiga kenderaan di Kilometer 113, Jalan Kuala Terengganu-Kuantan, dekat Kerteh, Kemaman, petang hari ini.

Che Wan Mohd Noor Che Wan Tahir, 70, mati di tempat kejadian akibat parah pada kepala dalam kemalangan kira-kira 4.15 petang itu.

Kejadian dipercayai berlaku apabila motosikal Honda Wave ditunggangi warga emas itu memasuki simpang jalan di situ sebelum sebuah kereta yang datang dari arah bertentangan gagal mengelak lalu merempuh motosikal mangsa.

Dalam masa sama, motosikal Yamaha RXZ yang ditunggang seorang wanita berusia 25 tahun di belakang kereta itu gagal mengelak lalu merempuh belakang kereta terbabit.

Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintendan Mohd Said Ibrahim ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian itu.

Menurutnya, ketika kejadian mangsa seorang tukang sapu di sebuah kawasan perniagaan di Kerteh dalam perjalanan pulang ke rumahnya di Taman Perpaduan, Kerteh.

“Ketika memasuki simpang itu, mangsa dilanggar kereta terbabit menyebabkannya tercampak ke bahu jalan.

“Wanita terbabit turut tercampak ke atas jalan dan mengalami kecederaan pada rahang mulutnya, sementara motosikal yang ditungganginya rosak teruk pada bahagian hadapan,” katanya.

Mohd Said berkata, pasukan perubatan dari Klinik Kesihatan Kerteh yang dipanggil ke lokasi kejadian mengesahkan mangsa sudah meninggal dunia.

“Setakat ini, pemandu kereta yang terbabit dalam kemalangan itu masih belum membuat laporan.

“Mayat mangsa dibawa ke Bilik Forensik Hospital Kemaman untuk siasatan lanjut, manakala wanita yang cedera dihantar ke hospital sama untuk rawatan,” katanya.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 kerana memandu secara melulu dan membahayakan sehingga menyebabkan kematian.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 30 January 2019 @ 8:19 PM