DR Afif menunjukkan aplikasi 'Predict dan Beat Dengue' yang masih kurang digunakan penduduk Pulau Pinang. FOTO Danial Saad.
DR Afif menunjukkan aplikasi 'Predict dan Beat Dengue' yang masih kurang digunakan penduduk Pulau Pinang. FOTO Danial Saad.
Zuhainy Zulkiffli


TIGA kematian akibat denggi pada empat minggu pertama tahun ini, seharusnya menjadi amaran kepada penduduk Pulau Pinang mengenai bahaya penyakit berkenaan serta nyamuk aedes.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Industri Asas Tani, Pembangunan Luar Bandar dan Kesihatan negeri, Dr Afif Bahardin, tiada kes kematian direkodkan bagi tempoh sama tahun lalu, sekali gus menuntut orang awam mengambil langkah membasmi nyamuk aedes daripada membiak dan menyebabkan penularan demam denggi.

“Pelbagai inisiatif sudah dilakukan kerajaan dan pihak swasta bagi membasmi dan memupuk kesedaran mengenai bahaya denggi dalam kalangan masyarakat.

“Namun pengetahuan tinggi terhadap perkara itu masih tidak mencukupi tanpa kerjasama dan pemantauan sendiri daripada orang ramai,” katanya.

Dr Afif berkata, secara kumulatif sehingga 26 Januari 2019, sebanyak 974 kes denggi dilaporkan di Pulau Pinang berbanding 324 kes bagi tempoh sama pada 2018, menunjukkan peningkatan sebanyak 650 kes (200.62 peratus).

Beliau berkata, sebanyak 58 lokaliti wabak terkawal dan sembilan lokaliti wabak tak terkawal sudah dikenal pasti selain enam lokaliti kawasan panas.

“Enam lokasi berkenaan ialah Mutiara Idaman di Georgetown; Taman Machang Bubok Zon E, Kuarters Kastam Perai, Perkampungan Juru-Jalan Juru, Taman Pauh dan Apartmen Permata Zon C di daerah Seberang Perai Tengah.

“Orang ramai dinasihatkan supaya terus melakukan pemeriksaan di persekitaran rumah serta gotong-royong di perumahan bagi memusnahkan tempat pembiakan.

“Segera ke klinik atau hospital jika mengalami demam atau tanda penyakit denggi seperti sakit badan, sendi, muntah, ruam dan kurang selera makan," katanya.

Dr Afif berkata, pihaknya sudah melancarkan aplikasi 'Predict dan Beat Dengue' di Google Play dan Iphone Apps lebih setahun lalu, namun penggunaannya masih sedikit.

Beliau berkata, menerusi aplikasi itu, orang ramai boleh mengetahui lokaliti semasa atau 'kawasan panas' denggi, selain boleh mendapat maklumat terkini atau menyalurkan aduan di kawasan masing-masing.

“Aplikasi diperkenalkan pada 2017 itu berupaya memberi amaran kepada pengguna apabila melalui kawasan panas denggi berdasarkan laporan statistik kes di Pulau Pinang.

“Pulau Pinang menjadi negeri pertama memperkenalkan aplikasi berkenaan kepada orang awam manakala di Kuala Lumpur dan Selangor, ia masih di peringkat permulaan dalam kalangan agensi sahaja,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 30 January 2019 @ 9:04 PM