Al-Sultan Abdullah dan Tunku Azizah Aminah Maimunah tiba di Kompleks Bunga Raya KLIA. FOTO Mohd Fadli Hamzah
Mohd Husni Mohd Noor; Zanariah Abd Mutalib dan Hashini Kavishtri Kannan


SULTAN Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah dan Tengku Ampuan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah sebentar tadi berangkat tiba di Kompleks Bunga Raya, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Baginda berdua berangkat tiba pada jam 9.15 pagi dengan menaiki pesawat khas dari Pangkalan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), Kuantan, Pahang.

Al-Sultan Abdullah akan berangkat ke Istana Negara bagi menghadiri Mesyuarat Majlis Raja-Raja Ke-252 (Khas), diikuti Istiadat Melafaz Sumpah Jawatan dan Menandatangani Surat Sumpah Jawatan sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-16, diikuti Pengisytiharan Memegang Jawatan yang dijangka berlangsung jam 10 pagi nanti.

Di Kompleks Bunga Raya pagi ini, ketibaan pasangan diraja berkenaan disambut Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah dan Tengku Laksamana Selangor, Tengku Sulaiman Shah serta pegawai kerajaan.

Istiadat keberangkatan tiba Al-Sultan Abdullah dan Tunku Azizah turut disambut pasukan Kawalan Kehormat Setempat oleh Batalion Pertama Rejimen Renjer Diraja terdiri daripada dua pegawai dan 26 anggota, diketuai Kapten Abdul Munir [email protected] Omar.

Baginda kemudian berangkat ke Parlimen bagi istiadat sambutan oleh pemimpin negara dan akan disambut Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dan isteri, Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali bersama Timbalan Perdana Menteri, Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dan suami, Datuk Seri Anwar Ibrahim, sebelum berangkat ke Istana Negara.

Pada 24 Januari lalu, Mesyuarat Majlis Raja-Raja ke-251 (Khas) memilih Al-Sultan Abdullah sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-16 bagi tempoh lima tahun berkuat kuasa 31 Januari 2019.

Baginda menggantikan Sultan Muhammad V yang meletak jawatan sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-15 berkuat kuasa 6 Januari lalu selepas memegang tampuk pemerintahan negara sejak 13 Disember 2016.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 31 January 2019 @ 9:33 AM