Pegawai Pejabat Hutan Kuantan/ Maran/ Pekan, Ismail Ali Kamarudeen (kanan) memeriksa kayu balak yang cuba dipindahkan tanpa permit di hutan tanah kerajaan Kampung Batu 21 Jalan Kuantan-Sungai Lembing. FOTO Mohd Rafi Mamat
Pegawai Pejabat Hutan Kuantan/ Maran/ Pekan, Ismail Ali Kamarudeen (kanan) memeriksa kayu balak yang cuba dipindahkan tanpa permit di hutan tanah kerajaan Kampung Batu 21 Jalan Kuantan-Sungai Lembing. FOTO Mohd Rafi Mamat
Mohd Rafi Mamat


CUBAAN satu sindiket mencuri lebih 200 batang balak pelbagai spesies dianggarkan bernilai RM200,000 dipatahkan pihak berkuasa di hutan tanah kerajaan di Kampung Batu 21 Jalan Kuantan-Sungai Lembing, Kuantan, malam tadi.

Serbuan Op Tanglung berakhir kira-kira jam 8.30 malam oleh tujuh anggota Seksyen Penguatkuasaan Pahang Timur Jabatan Perhutanan Negeri Pahang (JPNP) itu menemui dua longgok kayu pelbagai spesies dalam hutan dan matau berhampiran sebuah kilang papan.

Difahamkan, anggota penguat kuasa terpaksa berjalan lebih 400 meter melalui jalan balak dan menggunakan lampu ketika membuat pemeriksaan dalam kawasan hutan.

Ketua Penolong Pengarah Penguat Kuasa JPNP, Mohd Rahim Ramli berkata, harga tinggi mendorong sindiket berkenaan cuba mencuri spesies balak seperti meranti damar laut, keruing dan damar hitam.

“Ini kes pertama cubaan memindahkan balak dalam kawasan hutan kerajaan yang terkenal dengan pelbagai spesies pokok balak berkualiti tinggi terutama membabitkan pokok meranti damar laut yang semakin sukar ditemui.

“Kita percaya pokok balak terbabit ditebang beberapa minggu lalu oleh beberapa individu sebelum dipindahkan,” katanya di sini, hari ini.

Mohd Rahim berkata, kejayaan mengesan cubaan memindahkan balak tanpa permit adalah hasil Ops Tanglung 2019 yang dilancarkan Pengarah Jabatan Perhutanan Negeri Pahang, Datuk Dr Mohd Hizamri Mohd Yasin kelmarin.

Katanya, kegiatan menceroboh dan memindahkan balak serta hasil hutan lain dijangka aktif berlaku ketika cuti Tahun Baru Cina dan pihaknya akan membuat pemantauan berterusan.

“Beberapa kawasan hutan yang sebelum ini menjadi tumpuan pencuri balak akan dipantau siang dan malam, saya percaya pihak tidak bertanggungjawab cuba mengambil kesempatan pada musim cuti perayaan ini.

“Permintaan tinggi dan harga balak yang mahal mendorong aktiviti mencuri balak semakin aktif berlaku, kita akan terus menyekat kegiatan terbabit,” katanya yang akan terus melakukan intipan dengan pelbagai cara sebelum membuat serbuan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 31 January 2019 @ 9:48 AM