Laporan dalam Harian Metro kelmarin.
Zuliaty Zulkiffli


ULAR tedung selar sepanjang empat meter yang ditemui dalam mangkuk tandas di sebuah universiti awam di Sintok, Isnin lalu diserahkan kepada Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN), semalam.

Reptilia itu antara 13 ekor ular yang diserahkan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Kubang Pasu kepada PERHILITAN semalam untuk tindakan lanjut.

Harian Metro kelmarin melaporkan ular tedung selar itu ditangkap pekerja universiti itu, Mohd Nizam Abdul Rahman, 50, apabila dimaklumkan ular itu tersangkut dalam tandas berkenaan jam 4.30 petang akibat ruang sempit.

Ular tedung selar itu antara terbesar ditemui di daerah itu awal tahun ini yang dipercayai tersesat.

Selepas ditangkap, ular itu kemudian diserahkan kepada APM Kubang Pasu untuk disimpan sementara sebelum menyerahkannya kepada PERHILITAN.

Pegawai Pertahanan Awam Kubang Pasu, Kapten (PA) Kamalruzamal Kasa berkata, dalam keadaan cuaca panas ketika ini, banyak kes tangkapan ular direkodkan di daerah itu.

Beliau berkata, dalam tempoh lebih sebulan, 46 ekor ular pelbagai spesis seperti tedung senduk, selar, rusuk kerbau dan sawa ditangkap.

Katanya, biasanya ular ini keluar mencari perlindungan disebabkan haba panas yang menyebabkan ia menyusur ke rumah penduduk untuk mendapatkan perlindungan.

“Kebanyakan kes yang diterima membabitkan ular ditemui di bahagian dapur, bilik air, tandas serta di siling.

“Anggota kami juga berjaya menangkap sembilan ekor ular tedung selar dalam tempoh sama,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Berita berkaitan

Amal doa Nabi Nuh dan Nabi Sulaiman [METROTV]

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 31 January 2019 @ 10:54 AM