Ramesh bersama anggotanya melakukan pemeriksaan di salah sebuah premis. FOTO Ihsan KDPNHEP


KEMENTERIAN Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Kuala Selangor menyerbu dua premis di Sungai Besar yang dipercayai menjual barangan tiruan.

Dalam serbuan jam 11 pagi hingga 2 petang semalam, operasi yang disertai tujuh anggota serta pegawai penguat kuasa KPDNHEP bersama wakil cap dagang merampas pelbagai barangan tiruan bernilai RM2,500.

Ketua Pegawai Penguat kuasa KPDNHEP Kuala Selangor, K Ramesh berkata, operasi itu dijalankan selepas menerima aduan wakil cap dagang yang mendakwa terdapat jualan beg dan dompet tiruan milik syarikatnya di dua premis itu.

“Pemeriksaan di premis berkenaan mendapati kedua-dua premis itu menjual beg galas, beg tangan, topi dan selipar yang menggunakan perihal dagangan palsu jenama terkenal.

“Antara jenama terkenal tiruan yang didapati dalam premis terbabit termasuk Puma, Tommy Hilfiger, Burberry dan Michael Kors yang dijual pada harga murah.

“Kami merampas 96 unit barangan yang disyaki tiruan dengan nilai rampasan dianggarkan berjumlah RM2,500,” katanya.

Beliau berkata, pihaknya juga sudah mengambil keterangan dua lelaki dipercayai pemilik kedua-dua premis berusia lingkungan 40 dan 50 tahun bagi membantu siasatan.

“Kedua-dua kes itu disiasat mengikut Seksyen 8 (2)(b) Akta Perihal Dagangan 201 kerana menawarkan jualan barangan tiruan di premis.

“Sabit kesalahan, kedua-dua peniaga boleh didenda tidak melebihi RM10,000 bagi setiap barangan atau dipenjara tidak melebihi tiga tahun,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 31 January 2019 @ 11:12 AM