BAYI dan kanak-kanak antara 117 PATI ditahan dalam operasi di sekitar Kuala Lumpur, awal pagi hari ini. FOTO Saddam Yusof.
Mohd Azam Shah Yaacob


BAGI mengelak ditahan pihak berkuasa, beberapa pendatang asing tanpa izin (PATI) warga Bangladesh di kawasan penempatan haram di Kampung Kerinchi, Kuala Lumpur, sanggup bersembunyi di tempat pembuangan najis manusia.

Tindakan itu menyebabkan badan mereka diselaputi najis dan berbau busuk, namun tetap gagal menyelamatkan diri daripada ditahan penguat kuasa Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Kuala Lumpur dalam Ops Gegar dan Ops Sapu, awal pagi hari ini.

Malah dalam operasi itu, pihak berkuasa berjaya mengesan beberapa PATI yang bersembunyi di atas siling serta di bawah lantai rumah di penempatan haram berkenaan.

Lokasi itu salah satu daripada lima lokasi diserbu JIM Kuala Lumpur. Malah, dalam operasi bermula 1 hingga 5 pagi itu, seramai 117 PATI berjaya ditahan.

Menerusi temubual dengan beberapa PATI yang tidak memiliki dokumen perjalanan sah, kebanyakannya mengakui masuk ke negara ini dengan membayar sebanyak enam juta rupiah (RM1,755) kepada ejen warga Indonesia.

Mereka masuk ke negara ini dari Pulau Batam sebelum menyeberang ke Johor secara haram dan dibawa ke ibu negara untuk bekerja sebagai tukang cuci, buruh, jurujual serta pembantu rumah.

Malah, ada antaranya mengaku sudah 10 tahun tinggal di negara ini.

Pengarah Imigresen Kuala Lumpur, Hamidi Adam berkata, lima lokasi diserbu itu membabitkan tiga premis pusat kecantikan dan urutan sekitar Desa Sri Hartamas, manakala dua lagi membabitkan kawasan flat di Taman Damai Indah dan penempatan haram di Kampung Kerinchi.

Beliau berkata, seramai 182 orang diperiksa dan 117 PATI ditahan kerana pelbagai kesalahan.

“Mereka yang ditahan membabitkan 47 lelaki, 66 wanita dan empat kanak-kanak berusia antara enam bulan hingga empat tahun.

“Malah dalam operasi itu, kami menahan dua lelaki tempatan atas kesalahan menggaji serta melindungi PATI," katanya ketika dihubungi hari ini.

Hamidi berkata, operasi di penempatan haram di Kampung Kerinchi sedikit sukar berikutan ada PATI berkenaan bersembunyi di bawah lantai, di atas siling serta di kawasan pembuangan najis manusia.

Beliau berkata, bagaimanapun, tindakan mereka itu tidak berjaya mengaburi mata penguat kuasa yang sudah biasa dengan taktik sedemikian.

“PATI ditahan itu membabitkan 62 lelaki dan 42 wanita Indonesia, enam lelaki Bangladesh, tiga wanita Vietnam, dua wanita Thailand dan masing-masing seorang lelaki dan wanita Myanmar.

“Kes disiasat mengikut Peraturan 39(b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963, Seksyen 15(1)(c), Seksyen 6(1)(c) dan Seksyen 56(1)(d) Akta Imigresen 1959/63,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 31 January 2019 @ 3:08 PM