Laporan mengenai provokasi lelaki berjubah putih yang dipaparkan dalam laman web Harian Metro.
Hafidzul Hilmi Mohd Noor


LELAKI berjubah putih yang mencetuskan provokasi di majlis penutupan Bazar Tahun Baru Cina 8TV di Kompleks Sukan Bukit Jalil, malam tadi, disahkan positif ganja.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Seri Mazlan Lazim berkata, lelaki berusia 23 tahun itu ditahan kerana mengeluarkan kata-kata lucah kepada menteri.

“Individu terbabit berasal dari Puchong dan tindakannya itu mencurigakan sebelum ditahan.

“Hasil ujian saringan air kencing mendapati dia positif dadah jenis ganja,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Menurutnya, lelaki itu ditahan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 14 Akta Kesalahan-Kesalahan Kecil 1955 dan Seksyen 15(1) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Malam tadi, lelaki berjubah putih terbabit cuba mencetuskan provokasi di pekarangan tempat letak kereta Kompleks Sukan Bukit Jalil.

Lelaki berkenaan kelihatan berlegar di kawasan terbabit sebelum menjerit ke arah Menteri Kewangan, Lim Guan Eng yang sedang beredar menuju kereta selepas menghadiri majlis penutupan Bazar Tahun Baru Cina 8TV, pada 8.30 malam.

Ketika menjerit, lelaki itu dilihat seperti memegang sesuatu di pinggangnya dan memarahi pasukan keselamatan yang cuba mengambil barang terbabit.

Bagaimanapun, lelaki itu berjaya ditahan polis yang mengawal keadaan.

Berita berkaitan

  • Misteri lelaki berjubah putih [METROTV]
  • Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 31 January 2019 @ 4:21 PM