Lizawati bersama bayinya, Muhammad Irsyad bergambar di hadapan rumah sewa yang dibiayai Baitulmal Majlis MAINJ. FOTO Farid Noh
Mohamed Farid Noh


PENDERITAAN keluarga Orang Asli di Kampung Bumiputera Dalam, Rengit, Batu Pahat, yang tinggal di pondok yang hampir runtuh di kawasan paya akhirnya mendapat pembelaan.

Lizawati Hashim, 36, yang baru melahirkan bayi 18 hari lalu bersyukur penderitaan keluarganya mendapat perhatian Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) dan pelbagai agensi awam di negeri ini.

Wanita yang masih berpantang itu diberikan penempatan sementara di rumah dua bilik milik Koperasi Nelayan Rengit Batu Pahat Berhad dengan sewa rumah dibiayai Baitulmal Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ).

Lizawati berkata, dia terharu dengan keprihatinan JAKOA, Koperasi Nelayan Rengit, Baitulmal MAINJ dan Pejabat Daerah Batu Pahat yang berusaha mencarikan rumah buat dirinya membesarkan bayi serta tiga anak yang masih bersekolah.

“Alhamdulillah, sejak kisah saya dilaporkan media dan tular, pelbagai pihak tampil memberi bantuan terutama JAKOA, begitu juga Suruhanjaya Syarikat Malaysia Negeri Johor yang memberi sumbangan wang.

“Hari ini pula, keluarga saya mendapat rumah dua bilik yang sangat selesa. Saya sangat bersyukur kepada Allah dan ini sebenarnya rezeki anak bongsu, Muhammad Irsyad Ahmad Jais yang baru berusia 18 hari.

“Hanya Allah yang mampu membalas jasa semua pihak yang menghulurkan bantuan, apatah lagi keluarga hilang tempat bergantung berikutan suami yang menderita kanser peti suara akan dipindahkan ke Hospital Sultanah Aminah, Johor Bahru, untuk rawatan lanjut,” katanya.

Lizawati berkata demikian ketika ditemui selepas penyerahan kunci rumah barunya Kampung Bumiputera Dalam, Rengit, Batu Pahat, hari ini.

Turut hadir, Timbalan Pengarah JAKAO Johor Mohd Baderi Ismail, Pengerusi Koperasi Nelayan Rengit Batu Pahat Berhad Jefri Riyok dan Pegawai JAKAO Batu Pahat Mohd Ali Sabirin.

Disember lalu, kisah Lizawati yang sarat mengandung dan hanya mampu berserah dengan kehidupan daif keluarganya tular selepas dilaporkan Harian Metro dan Berita Harian.

Lebih memilukan, keadaan pondok dihuni Lizawati itu bukan sahaja tidak sesuai didiami atas faktor keselamatan kerana senget dan hampir menyembah bumi, malah ruangan dalam rumahnya juga digenangi air laut pasang sehingga peralatan rumahnya kelihatan terapung, selain sampah-sarap dari laut hanyut memenuhi persekitaran rumah.

Sementara itu, Mohd Baderi berkata, penempatan keluarga Lizawati di rumah teres milik Koperasi Nelayan Rengit Batu Pahat Sdn Bhd adalah langkah sementara sebelum pihak JAKAO mencari jalan penyelesaian.

“JAKAO sedang mendapatkan lot tanah bagi membina rumah kekal untuk keluarga Lizawati, selain Orang Asli lain yang disenaraikan sebagai miskin tegar di sini,” katanya.


Jefri (dua dari kiri) menyampaikan kunci rumah kepada Lizawati sambil disaksikan Mohd Baderi (tiga dari kiri). Foto Farid Noh

Lizawati bersama bayinya, Muhammad Irsyad di hadapan rumah barunya. FOTO Farid Noh

Paparan berita dalam laman web Harian Metro, 8 Januari lalu, mengenai kehidupan Lizawati.

Berita berkaitan

  • Daifnya keluarga ini
  • Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 31 January 2019 @ 5:02 PM