Pegawai dan penguatkuasa KPDNHEP Terengganu menyerbu peniaga di sebuah tapak ekspo di bandar raya Kuala Terengganu yang menjual pelbagai barangan tiruan. FOTO Ihsan KPDNHEP.
Hanneeyzah Bariah Baharin


KEMENTERIAN Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) negeri menyita 1,110 pelbagai jenis barangan tiruan termasuk kasut, dompet dan pakaian di sebuah tapak ekspo di bandar raya ini, jam 8 malam, Isnin lalu.

Rampasan membabitkan barangan bernilai RM37,683 itu dilakukan 19 penguat kuasa KPDNHEP.

Ketua Pegawai Penguatkuasa KPDNHEP negeri, Zulfamy Mat Udi berkata, enam gerai yang diperiksa pihaknya didapati menjual pelbagai barangan tiruan berjenama Adidas, Nike dan Puma.

“Semua barangan tiruan ini dirampas dan dibawa ke stor sitaan KPDNHEP di Chendering untuk tindakan lanjut mengikut Seksyen 8 (2) Akta Perihal Dagangan 2011,” katanya.

Beliau mengingatkan supaya peniaga tidak menjual barangan tiruan di tapak ekspo dan tidak menipu pelanggan dengan tawaran harga jualan murah.

“Penganjur program ini juga bertanggungjawab memastikan peniaga yang menyertai karnival dan ekspo mematuhi peraturan seperti tidak menjual barang tiruan, cetak rompak, mempamerkan tanda harga, penentusahan alat timbang dan keselamatan permainan,” katanya.

Beliau berkata, pihaknya turut merekodkan satu kesalahan di bawah kes jualan murah di tapak ekspo itu yang disiasat mengikut Peraturan 3 Peraturan-Peraturan Perihal Dagangan (Harga Jualan Murah) 1997.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 31 January 2019 @ 7:39 PM