Berita tular di media sosial mengenai mayat kanak-kanak tanpa isi perut. FOTO media sosial.
Badrul Kamal Zakaria
badrulkamal@nstp.com.my

POLIS mengesahkan tidak menerima sebarang laporan berkaitan penemuan mayat kanak-kanak dengan isi perutnya diambil seperti yang ditularkan di media sosial.

Ketua Polis Daerah Muar, Asisten Komisioner Zaharudin Rasip berkata, pihaknya juga mengesahkan kejadian sebegitu tidak berlaku di Dusun Damai, Pagoh sebagaimana didakwa.

“Semakan sudah dibuat dan mendapati kes ditularkan (di media sosial) ini adalah kes yang berlaku di Seberang Perai, Pulau Pinang pada 22 Januari lalu yang mana satu laporan polis dibuat susulan kehilangan seorang kanak-kanak.

“Bagaimanapun, kes itu juga dianggap selesai apabila kanak-kanak terbabit ditemui di sebuah pasar raya di Pulau Pinang, dalam keadaan selamat pada 23 Januari lalu.

“Laporan penemuan kanak-kanak itu juga sudah dilakukan,” katanya dalam kenyataan dikeluarkan, hari ini.

Berikutan itu, Zaharudin menasihati mana-mana individu atau pengguna media sosial supaya menghentikan penyebaran berita tidak benar dan isu sensitif yang boleh memudaratkan.

Katanya, semua maklumat perlu dirujuk pihak berkuasa terlebih dahulu untuk fakta yang tepat sebelum dikongsi di media sosial.

“Tindakan tidak bertanggungjawab seperti ini hanya boleh membangkitkan keresahan dan salah tanggap dalam kalangan masyarakat,” katanya.

Sebelum ini, beberapa pengguna media sosial didakwa memuat naik hantaran (posting) yang mendakwa mayat kanak-kanak ditemui di Dusun Damai, Pagoh dengan isi perut dikorek, sekali gus menggemparkan masyarakat setempat.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 31 January 2019 @ 8:02 PM