LOKE (kanan) membuat perlepasan ETS bersama Mohd Rani Hisham (dua dari kanan) dan Azhar (tiga dari kanan) di KL Sentral, hari ini. Foto AZHAR RAMLI
Mohamad Fahd Rahmat


SEBANYAK 116,065 tiket atau 89 peratus daripada 129,822 tiket komuter dan perkhidmatan tren elektrik (ETS ) untuk musim perayaan Tahun Baru Cina sudah terjual.

Menteri Pengangkutan Anthony Loke Siew Fook berkata, bagi memenuhi permintaan orang ramai, Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) menyediakan empat tren tambahan untuk sektor KL Sentral-Ipoh- KL Sentral dan KL Sentral-Butterworth-KL Sentral.

“Perkhidmatan ini akan beroperasi pada 1 Februari sehingga 4 Febuari, dan 7 Februari sehingga 10 Februari ini. Tiket tambahan ETS sudah mula dijual pada 14 Januari lalu.

“Sebanyak 9,984 tiket tambahan ETS ditawarkan, namun sehingga kini sebanyak 7,158 tiket sudah terjual,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas majlis edaran pek cenderahati kepada penumpang KTMB sempena Tahun Baru Cina 2019 di KL Sentral, hari ini.

Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif KTMB Mohd Rani Hisham Samsudin dan Pengurus Besar Perbadanan Aset Keretapi (RAC), Azhar Ahmad.

Loke berkata, perkhidmatan KTM Intercity pula menawarkan 16,000 tiket dalam tempoh sama dan 11,303 daripadanya sudah terjual.

“Manakala bagi perkhidmatan Shuttle Tebrau sebanyak 109,120 tiket ditawarkan dan 71,869 daripadanya sudah terjual.

“Tiket ini boleh dibeli secara dalam talian melalui sesawang rasmi KTMB, aplikasi telefon pintar (KTM MobTicket) dan di kaunter KTMB,” katanya.

Terdahulu, Anthony berkata, tiada sebarang tawaran diskaun akan diberikan ke atas mana-mana notis kompaun yang dikeluarkan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) bagi kesalahan lalu lintas.

Katanya, dasar tiada diskaun itu tidak bermusim dan akan diteruskan sepanjang masa, bukan hanya ketika musim perayaan sahaja seperti sebelum ini bagi menurunkan kadar kemalangan jalan raya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 31 January 2019 @ 11:16 PM