Sebanyak 12 sambungan paip air secara haram dikesan berlaku di Kampung Mangkalinau, dekat Batu Tiga, dalam satu operasi dijalankan Jabatan Air Negeri Sabah (JANS) Sandakan. FOTO Ihsan JANS.
Hazsyah Abdul Rahman


JABATAN Air Negeri Sabah (JANS) mengesan 12 sambungan paip air haram di Kampung Mangkalinau, Batu Tiga, Sandakan, susulan operasi dijalankan jabatan itu, hari ini.

Operasi bermula jam 9.30 pagi itu, pelbagai peralatan disyaki digunakan untuk melakukan sambungan haram seperti penyambung paip T dan paip jenis poli bersaiz 1.3 Sentimeter (SM) turut dirampas.

Difahamkan, pelbagai kaedah mencuri air dan menyembunyikan aktiviti haram itu dikesan dalam operasi terbabit.

Antaranya menanamkan paip ke dalam tanah agar tidak mudah kelihatan sedangkan ada paip yang bersambung dengan paip utama menuju ke kawasan rumah setinggan di kampung terbabit.

Antara sambungan paip air secara haram yang ditemui Jabatan Air Negeri Sabah (JANS) Sandakan.

Jurutera JANS Sandakan, Ishar Hamka berkata, operasi itu dilancarkan susulan laporan berhubung aktiviti curi air di kawasan terbabit.

“Sebaik menjalankan siasatan, didapati paip utama bersaiz 15 sentimeter mengalami kebocoran dipercayai akibat aktiviti sambungan secara haram.

“Operasi kemudian digerakkan dan kita menemui 12 sambungan paip air secara haram terus ke paip utama.

“Semua sambungan kemudian dipotong dan pelbagai peralatan sambungan seperti paip dirampas,” katanya.

Ishar turut meminta pengguna di daerah ini supaya mematuhi undang-undang yang termaktub dalam Enakmen Bekalan Air 2003 yang mana jika didapati melanggarnya boleh didenda sehingga RM50,000 atau penjara dua tahun.

“Oleh yang demikian, kami memohon kerjasama orang ramai dalam menyalurkan maklumat sekiranya berlaku kecurian atau kebocoran paip agar menghubungi talian kecemasan kami di 088-326888,” katanya.

Sambungan paip air secara haram dikesan berlaku di Kampung Mangkalinau, dekat Batu Tiga, dalam satu operasi dijalankan Jabatan Air Negeri Sabah (JANS) Sandakan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 31 January 2019 @ 11:24 PM