Mohd Husni Mohd Noor
mhusni@nstp.com.my


HARGA runcit bahan api bagi petrol RON97 dan RON95 masing-masing turun 5 sen kepada RM2.23 seliter dan RM1.93 seliter manakala diesel kekal pada harga RM2.18 seliter mulai tengah malam ini.

Menteri Kewangan Lim Guan Eng berkata, harga runcit bahan itu ditetapkan bagi tempoh 2 hingga 8 Februari ini.

Menurutnya, penurunan harga runcit bagi produk petrol RON95 adalah berikutan penurunan harga produk petroleum yang diproses (refined products) di pasaran dunia yang didorong oleh faktor peningkatan pengeluaran produk petrol di pasaran global.

“Perbezaan kos produk yang lebih tinggi bagi diesel berbanding petrol adalah disebabkan oleh peningkatan permintaan bagi produk diesel, terutama dari China dan juga peningkatan pengeluaran produk petrol di pasaran global.

“Kerajaan akan terus komited untuk melaksanakan dasar penstabilan harga runcit produk petroleum dan pada masa yang sama melaksanakan penetapan harga yang memanfaatkan rakyat.

“Ini bermakna apabila harga petroleum di pasaran dunia turun, harga runcit produk petroleum juga akan diturunkan bagi membolehkan pengguna menikmati manfaat penurunan harga minyak dengan segera,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Katanya, sekiranya harga pasaran produk melebihi paras harga yang ditetapkan, kerajaan akan menstabilkan harga jualan runcit bagi produk petrol RON95 dan diesel dengan mengekalkan harga jualan runcit masing-masing pada paras RM2.20 seliter dan RM2.18 seliter.

Bagi tempoh 26 Januari hingga 1 Februari lalu, harga runcit bahan api bagi petrol RON97 dan RON95 masing-masing kekal RM2.28 seliter dan RM1.98 seliter manakala diesel naik sebanyak 1 sen kepada RM2.18 seliter.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 1 Februari 2019 @ 4:21 PM