Pistol tiruan yang didakwa untuk menembak ikan. FOTO Ihsan polis.
Muhaaamad Hafis Nawawi

TINDAKAN seorang lelaki menyimpan sepucuk pistol tiruan yang digunakan untuk menembak ikan, membawa padah apabila ditahan polis di Sungai Ulu Paip, Karangan, Kulim, hari ini.

Dalam kejadian 12.30 tengah hari itu, anggota polis yang melakukan rondaan cegah jenayah, melihat suspek berusia 23 tahun di kawasan rekreasi Ulu Paip, Karangan dalam keadaan mencurigakan.

Ketua Polis Daerah Kulim, Superintendan Ahmad Nasir Jaafar berkata, anggotanya kemudian memperkenalkan diri sebelum membuat pemeriksaan.

“Bagaimanapun ketika diperiksa, lelaki itu panik dan terus mengangkat jaketnya serta menyerahkan sepucuk pistol tiruan.

“Dia mendakwa pistol tiruan itu miliknya yang digunakan untuk menembak ikan. Kita merampas pistol itu dan suspek dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kulim untuk tindakan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Ahmad Nasir berkata, semakan mendapati suspek memiliki tiga rekod jenayah mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan, Seksyen 379A Kanun Keseksaan dan Seksyen 186 Kanun Keseksaan.

“Susulan itu suspek disiasat mengikut Seksyen 36 Akta Senjata 1960,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 1 Februari 2019 @ 5:45 PM