Irwan Shafrizan Ismail dan Zanariah Abd Mutalib


Tun Dr Mahathir Mohamad yakin Pakatan Harapan (PH) mampu memenangi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Semenyih melainkan ada sesuatu ‘luar biasa’ dibawakan UMNO dan PAS.

Perdana Menteri yang juga Pengerusi PH berkata, jika diambil kira majoriti kemenangan PH di Semenyih pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) yang lalu dan kerjasama yang bakal wujud antara UMNO dan PAS nanti, majoriti dimenangi calon PH kira-kira 1,000 undi sahaja.

Beliau berkata, pihaknya sedar bahawa kemenangan PH tipis dahulu dan sudah mengatur beberapa cara untuk mengatasinya.

“Kami juga yakin akan dapat majoriti undi Melayu di Semenyih termasuk undi dari kaum-kaum lain juga. Kemenangan kita dahulu adalah kerana rakyat kecewa dengan pemerintahan lama.

“Bagaimanapun, tumpuan rakyat kini bukan kepada kesalahan lama tapi rakyat nak lihat kejayaan kita selepas ambil alih kerajaan.

“Kita akan jelaskan kepada rakyat apa yang kita sudah lakukan, sedang lakukan dan akan kita lakukan,” katanya selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Presiden PH di Yayasan Kepimpinan Perdana di Putrajaya tadi.

PRK DUN Semenyih diadakan susulan penyandangnya dari PH, Bakhtiar Mohd Nor, 57, meninggal dunia di Hospital Kajang pada 11 Januari lalu akibat serangan jantung.

Pada PRU-14 yang lalu, Bakhtiar mengetepikan penyandangnya daripada Barisan Nasional (BN), Datuk Johan Abdul Aziz serta dua calon lagi iaitu Mad Shahmiour Mad Kosim (PAS) dan S Arutchelvan mewakili Parti Sosialis Malaysia (PSM).

Bakhtiar mengalahkan Johan daripada UMNO yang menjadi wakil rakyat di kerusi itu selama dua penggal dengan majoriti 8,964 undi selepas memperoleh 23,428 undi.

PRK Semenyih adalah yang keempat diadakan di Selangor selepas PRU-14. Sebelum ini, Selangor sudah mengadakan tiga PRK iaitu di DUN Sungai Kandis, Seri Setia dan Balakong.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 2 Mac depan bagi tarikh mengundi PRK DUN Semenyih.

Selain itu Dr Mahathir mengumumkan pelantikan Timbalan Presiden PH, Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Pengerusi Jawatankuasa Pilihanraya PH.

Mengulas mengenai prestasi PH di PRK Cameron Highlands, Dr Mahathir berkata, pihaknya mendapati undi PH di PRK itu meningkat walaupun kalah.

Katanya, undi yang memihak kepada Barisan Nasional (BN) sebenarnya berkurangan dan mereka menang disebabkan gabungan dengan PAS.

“Parti BN menang kerana ada gabungan antara parti PAS iaitu parti Islam dengan parti kafir UMNO. Sekarang ini parti islam (PAS) dan kafir (UMNO) sudah bekerjasama jadi dapatlah mereka skor kemenangan bagi calon mereka.

“Ini kita perlu ingat kerana pada masa hadapan, parti Islam dan kafir ini akan bekerjasama untuk dapat kemenangan di dunia namun, di akhirat kita belum tahulah,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan Pilihanraya Kecil Semenyih
  • Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 1 Februari 2019 @ 8:07 PM
    Pakatan Harapan yakin akan dapat majoriti undi Melayu di Semenyih termasuk undi dari kaum-kaum lain juga.