Farah Suhaidah Othman


WANITA maut dalam kemalangan di Kilometer 231.6, Lebuh raya PLUS arah utara dekat Kuala Kangsar, hari ini disahkan warganegara China.

Ketua Polis Daerah Kuala Kangsar, Asisten Komisioner Razali Ibrahim berkata, mangsa dikenali Zhang Wenzhuo, 27, dan duduk di tempat duduk penumpang hadapan.

Katanya, dua lagi mangsa cedera berasal dari negara sama iaitu wanita dikenali Pan Qi Ngijang, 58, dan lelaki warga emas, Pan Mingxiu, 87.

“Kedua-duanya duduk di tempat duduk penumpang belakang. Pemandu kereta itu adalah lelaki tempatan berusia 31 tahun, turut parah.

“Siasatan awal mendapati semua mangsa dalam perjalanan dari Kuala Kangsar menghala ke Pulau Pinang sebelum kereta itu gagal dikawal dan terbabas sendiri ke kiri jalan.

“Susulan itu, kereta itu merempuh besi penghadang di sebelah kiri jalan dan masuk ke dalam longkang,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Beliau berkata, penumpang di tempat duduk hadapan tersepit dan disahkan maut di lokasi, manakala tiga mangsa cedera dihantar ke Hospital Taiping.

Katanya, siasatan diteruskan mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Berita berkaitan

  • seorang maut tia cedera kereta terbabas
  • Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 1 Februari 2019 @ 10:23 PM