KENYATAAN kementerian berhubung isu berkenaan.
Mohd Husni Mohd Noor


KEMENTERIAN Pendidikan mengesahkan Bantuan Sara Hidup Pelajar (BSHP) bagi pelajar Kolej Matrikulasi Kedah (KMK) sudah dimasukkan dalam akaun pelajar pada 29 Januari lalu.

Dalam kenyataan dikeluarkan hari ini, kementerian juga memaklumkan bayaran BSHP dibuat untuk dua bulan sekali gus termasuk bagi Januari dan Februari.

Menurutnya, kementerian mengambil segala usaha bagi memastikan penyaluran BSHP kepada pelajar-pelajar Kolej Matrikulasi termasuk kepada pelajar KMK dibuat mengikut jadual ditetapkan.

“Bagaimanapun berlaku sedikit kelewatan dalam pengagihan berbanding tempoh yang dijadualkan disebabkan penyaluran waran peruntukan di awal tahun kepada kolej.

“Ini termasuklah dalam kes KMK sebagaimana dilaporkan dalam media sosial. Pihak pengurusan kolej juga telah mengambil tindakan segera bagi memastikan pengagihan BSHP dibuat sebaik sahaja waran peruntukan diterima,” katanya.

Katanya, dalam kes KMK, pihak pengurusan sudah memberikan taklimat mengenai perkara tersebut kepada pelajar pada 6 Disember 2018 dan sekali Iagi pada 24 Januari lalu berhubung kelewatan pengagihan bagi bulan Januari.

Selain itu, KMK juga tidak pernah mengadakan ‘Dapur Jalanan’ untuk pelajar yang mengalami masalah kewangan, sebaliknya membantu pelajar-pelajar yang menghadapi masalah kewangan menerusi Program Anak Angkat Cafeteria dan Pensyarah.

Berhubung isu kerja-kerja penyelenggaraan dan baik pulih sistem paip tangki utama dan tangki blok kediaman felo di KMK, ia sudah selesai dilaksanakan pada 12 November tahun lalu membabitkan kos sebanyak RM20,000.

Pada masa sama, Kementerian Pendidikan memberi jaminan sentiasa mengambil segala tindakan wajar bagi memastikan kebajikan pelajar-pelajar kolej matrikulasi terpelihara.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 1 Februari 2019 @ 11:13 PM