GAMBAR hiasan
Zatul Iffah Zolkiply


WANITA ditemui mati di rumahnya di Felda Tenang, Jertih, jam 5.40 petang hari ini.

Mayat mangsa berusia 59 tahun itu ditemui oleh jirannya yang pergi ke rumah wanita terbabit.

Dia kemudian menghubungi polis untuk tindakan lanjut.

Ketua Polis Daerah Besut Superintendan Mohd Zamri Mohd Rowi berkata, sebelum itu, jiran mangsa datang membuat pemeriksaan.

Beliau berkata, ia selepas kakak kepada wanita terbabit meminta pertolongan kerana adiknya itu tidak menjawab panggilan telefon, jam 12 tengah hari, Selasa lalu.

“Pada hari ini, kakak mangsa sekali lagi menghubungi adiknya namun panggilan tidak dijawab.

“Mayat mangsa ditemui dalam keadaan tertiarap di bahagian tepi katil,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Menurutnya, hasil siasatan, mangsa kali terakhir dilihat pada Isnin lalu ketika menghantar kuih ke kedai berhampiran.

“Berdasarkan keadaan fizikalnya, mangsa dipercayai sudah meninggal dunia antara tempoh dua hingga tiga hari dan tiada sebarang kecederaan pada badan mangsa,” katanya.

Mohd Zamri berkata, semua barangan mangsa seperti cincin, rantai dan subang masih ada pada badan mangsa.

Katanya, pihaknya turut menemui telefon dan beg duit mangsa selain tiada kesan pecah masuk kerana tingkap di dalam keadaan berkunci.

“Mangsa tinggal berseorangan di rumah berkenaan selepas bercerai dengan bekas suaminya sejak dua tahun lalu dan tidak pernah mengadu mempunyai masalah kesihatan sebelum ini.

“Mayat mangsa dibawa ke Unit Forensik Hospital Besut untuk bedah siasat dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 1 Februari 2019 @ 11:43 PM