RUMAH kongsi 16 pintu pekerja kilang menternak ayam di Jalan Serusup, Tuaran, musnah dalam kebakaran. FOTO Ihsan Bomba
Recqueal Raimi


LEBIH 20 pekerja kilang menternak ayam hilang tempat tinggal apabila rumah kongsi 16 pintu didiami mereka musnah dalam kebakaran di Jalan Serusup, Tuaran, malam tadi.

Bagaimanapun, tiada kemalangan jiwa dilaporkan dalam kejadian 9.50 malam itu.

Difahamkan, kejadian kebakaran di kawasan rumah kongsi itu adalah kali kedua iaitu kali pertama pada 13 Julai 2017.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Daerah Tuaran, Qawie Gapar berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 9.57 malam dan mengarahkan 10 anggota bersama sebuah jentera ke lokasi kejadian.

“Sebaik tiba, bomba mendapati api sudah marak lalu operasi memadam kebakaran dilakukan.

“Api dapat dikawal 11.13 malam dan kebakaran membabitkan 16 pintu manakala lebih 20 pekerja termasuk ahli keluarga masing-masing sempat menyelamatkan diri,” katanya di Tuaran, hari ini.

Qawie berkata, punca kebakaran dan jumlah kerugian masih dalam siasatan” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 3 Februari 2019 @ 10:31 AM