Muhammad Mustakim Ramli


SKUAD Badar akan meneruskan aktiviti mencegah kemungkaran selepas selesainya siasatan serta pendakwaan membabitkan kumpulan berkenaan.

Presidennya, Azhar Mohamad berkata, bagaimanapun aktiviti itu berbeza dari sebelum ini dan akan menggunakan kaedah mengikut undang-undang.

“Kami akan mendapatkan nasihat peguam dan pandangan jabatan agama serta polis... apa yang boleh...apa yang tak boleh...kami akan ikut undang-undang.

“Mungkin melalui pengedaran risalah... bagaimana caranya akan ditentukan selepas semuanya selesai (kes sebelum ini) dan selepas mendapat nasihat pihak berwajib,” katanya hari ini.

Azhar mengakui beliau sedih kerana niat mereka hanya mahu mencegah kemungkaran, namun reda dengan penahanan diri serta ahlinya.

“Kami tidak marah kepada polis kerana menahan kami. Polis hanya menjalankan tanggungjawab mereka. Saya cuma kecewa dengan jabatan agama.

“Saya sudah menghubungi mereka awal Januari lalu untuk mengadakan perbincangan dan dipersetujui bertemu 28 Januari lalu namun jadi perkara sebaliknya dengan mereka membuat laporan polis,” katanya.

Khamis lalu, Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Adzli Abu Shah berkata, siasatan terhadap Presiden Skuad Badar serta ahlinya sudah pun siap dan diserahkan kepada Pejabat Peguam Negara untuk tindakan lanjut.

Sebelum ini, media melaporkan Presiden Skuad Badar ditahan reman empat hari sebelum dilanjutkan dua hari lagi kerana dipercayai melanggar Akta Pertubuhan serta Akta Rahsia Rasmi.

Presiden berusia 46 tahun itu ditahan jam 10 malam 13 Januari lalu selain seorang ahli skuad berkenaan berusia lingkungan 30-an turut ditahan selepas menyerah diri di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Muda pada jam 11.30 malam.

Kumpulan itu aktif di sekitar Sungai Petani dalam menjalankan operasi cegah maksiat dengan menahan pasangan berkhalwat dan membawa mereka ke tanah perkuburan Islam untuk ditarbiah.

Berita berkaitan

'Presiden skuad badar, ahli dibebaskan'

'Tempoh reman presiden Skuad Badar disambung [METROTV]'

'Ini tempoh kuatkan ukhwah'

Presiden Skuad Badar direman

"JAIK serah pada polis

"Niat Skuad Badar baik, tetapi...'

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 3 Februari 2019 @ 11:47 AM