Antara ganja yang dirampas polis. FOTO Ihsan Polis
Ekhwan Haque Fazlul Haque


USIANYA baru 22 tahun namun penuntut kolej swasta ini menjadikan aktiviti pengedaran dadah sebagai mata pencarian sejak beberapa bulan lalu.

Namun, kegiatan haram itu akhirnya memakan diri selepas lelaki terbabit ditahan sepasukan pegawai dan anggota Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sarawak di sebuah rumah di Jalan Haji Hassan, Kuching kelmarin.

Ketua JSJN Sarawak, Superintendan Sahar Abdul Latif berkata, serbuan jam 4.30 petang itu dijalankan pasukannya selepas menerima maklumat risikan mengenai kegiatan suspek.

Menurutnya, hasil pemeriksaan lanjut di rumah berkenaan menemui daun kering dipercayai ganja seberat 79.5 gram dengan anggaran nilai RM795.

“Daun kering itu ditemui disorokkan suspek dalam kotak kasut kerana tidak mahu kegiatannya diketahui ahli keluarga dan pihak berkuasa.

“Selain itu, pasukan serbuan juga menemui alat penimbang, pisau dan plastik lut sinar dipercayai digunakan suspek untuk membungkus ganja sebelum dijual kepada penagih,” katanya hari ini.

Sahar berkata, polis juga menemui plastik pembungkus syarikat kurier dipercayai digunakan suspek untuk mendapatkan bekalan dadah dari pengedar luar dari Kuching.

Katanya, polis tidak menolak kemungkinan suspek sudah menjalankan kegiatan haram itu sejak beberapa bulan lalu dan menjadikan penagih di bandar ini sebagai pelanggan.

“Dadah ditemui dalam jumlah kecil kerana suspek menjalankan kegiatannya secara kecil-kecilan namun setakat ini siasatan lanjut masih dijalankan.

“Ujian air kencing juga mendapati suspek positif ganja dan kini direman untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 39A(2) Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 3 Februari 2019 @ 2:08 PM