Zatul Iffah Zolkiply


MAHU memeluk Islam antara alasan digunakan sindiket ‘Love Scam’ untuk memperdaya mangsa sehingga sanggup menggadai harta benda.

Itu antara taktik terbaharu ‘Love Scam’ yang dikenal pasti Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Terengganu sejak tahun lalu yang menyumbang kerugian hampir mencecah RM12 juta.

Ketua Polis Terengganu Datuk Aidi Ismail berkata, sindiket yang didalangi warga Afrika sebelum kebiasaannya menggunakan modus operandi licik dengan mensasarkan golongan wanita kesunyian untuk ‘bermain cinta’.

Bagaimanapun katanya, berikutan taktik itu semakin diketahui umum, kumpulan sindiket mengubah modus operandi mereka dengan menggunakan agama sebagai umpan untuk memperdayakan mangsa.

“Selain taktik terbaharu, sindiket sama menggunakan alasan mahu memberi hadiah kononnya sebagai hadiah perkenalan atau memberi sagu hati sekiranya membantu menguruskan harta atau tanah mereka yang ada di Malaysia.

“Tawaran lumayan diberikan menyebabkan mangsa menyerahkan wang mereka,” katanya pada Majlis Serah Terima Tugas Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (KJSJ), Ketua Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (KJIPS) dan Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu di Kuala Terengganu, hari ini.

Terdahulu, Aidi menyaksikan penyerahan jawatan KJSJ antara Asisten Komisioner Fazlisyam Abdul Majid kepada pemangkunya, Superintendan Suffian Santong yang juga Timbalan KJSJ (Siasatan Perundangan).

Sementara itu, Timbalan KJIPS, Asisten Superintendan Nurul Isma Khairudin memangku tugas sebagai KJIPS bagi menggantikan Deputi Superintendan Amran Mohd Ghani yang berpindah ke Negeri Sembilan.

Pada majlis sama, Aidi turut menyaksikan penyerahan jawatan KPD Kuala Terengganu yang dipangku Timbalannya, Superintendan Suffian Sulaiman kepada KPD Kuala Terengganu yang baharu, Asisten Komisioner Abdul Rahim Md Din.

Menurut Aidi lagi, selain ‘Love Scam’, sindiket ‘Macau Scam’ dan pembelian barang melalui laman web tidak wujud (e-Belian) antara penyumbang tertinggi kes penipuan di Terengganu.

Katanya, sebanyak 545 kes penipuan direkodkan pada tahun lalu berbanding hanya 478 kes pada 2017.

“Tahun lalu, kita berjaya menurunkan jumlah kerugian daripada RM24 juta pada 2017 kepada RM20 juta pada tahun ini,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 3 Februari 2019 @ 2:11 PM