Laporan kehilangan mangsa.
Hadzlihady Hassan
hadzlihady@hmetro.com.my


DUA nelayan yang hilang di perairan Kuala Muda selepas keluar menangkap ikan sejak Jumaat lalu, ditemui selamat, hari ini.

Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim) Pulau Pinang, Kapten Maritim Hamizan Harun berkata, kedua-duanya ditemui kira-kira 40 batu nautika daripada Jeti Pangkalan Kuala Muda, Penaga, Kepala Batas pada 1.30 petang.

Beliau berkata, mereka dikenali Yashir Abd Hamid, 50, yang juga tekong bot bersama awak-awak warga tempatan berusia 30 tahun, ditemui nelayan yang turut membantu operasi mencari dan menyelamat (SAR).

“Usaha membawa mereka pulang ke jeti dilakukan nelayan berkenaan dan mengambil masa kira-kira dua jam.

“Buat masa kita hanya mengetahui mereka selamat, namun belum dapat dipastikan tahap kesihatan mereka,” katanya ketika ditemui, hari ini.

Difahamkan, bot dinaiki dua nelayan terbabit mengalami kerosakan enjin yang menyebabkan mereka terkandas di lautan.

Berita berkaitan

'Dua nelayan dikhuatiri hilang dilaut'

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 3 Februari 2019 @ 4:39 PM