Mohamad Azim Fitri Abd Aziz


PENIAGA yang didakwa menghina Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Sultan Haji Ahmad Shah Al Musta’in Billah di Facebook (FB) Khamis lalu, memohon maaf kepada baginda atas kesilapan yang dilakukan.

Cheah Kim Hung, 46, berkata, dia tidak berniat meninggalkan komen seperti itu dan ia berlaku disebabkan salah faham.

“Saya mohon ampun dan minta maaf kepada baginda, saya kesal dengan apa yang berlaku.

“Ia berpunca daripada kesilapan saya meninggalkan komen pada gambar baginda dan Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskadariah serta Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad pada istiadat di Dataran Parlimen,” katanya ketika ditemui pemberita di Kuantan, hari ini.

Dia yang menggunakan nama Michael Cheah di FB menjelaskan, dia sebenarnya ingin membalas komen seorang pelayar FB di satu halaman FB yang merujuk wajah Perdana Menteri pada istiadat itu.

“Komen saya sudah disalah erti netizen yang kononnya ingat komen saya itu ditujukan kepada Yang di-Pertuan Agong, saya terkejut ia ditularkan hingga menimbulkan salah faham,” katanya.

Peniaga terbabit didakwa menulis di ruangan komen dengan kenyataan menghina iaitu ‘muka macam ‘end of the World’ hihi’ ke atas gambar Al-Sultan Abdullah, Tunku Azizah Aminah Maimunah dan Dr Mahathir.

Cheah berkata, dia dipanggil memberi keterangan kepada polis untuk membantu siasatan mengikut Akta Hasutan 1948 pada Jumaat lalu dan dibebaskan semalam.

“Saya dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan pada 8 malam, Jumaat lalu sehingga 2 pagi semalam, selepas itu saya dibawa ke IPD Temerloh untuk memberi keterangan. Saya dibebaskan kira-kira 10 pagi semalam,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 3 Februari 2019 @ 6:17 PM
Cheah memohon ampun kepada Yang di-Pertua Agong berkaitan komennya di laman sosial, Facebook. FOTO Muhd Asyraf Sawal