Kapal dipercayai melakukan pindahan minyak haram di perairan Kemaman. FOTO Ihsan Maritim.
Rosli Ilham
am@hmetro.com.my

AGENSI Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim) menahan dua kapal dipercayai melakukan pemindahan minyak secara haram di perairan Kemaman, semalam.

Pengarah Zon Maritim Kemaman, Komander Maritim Rashidilhadi Abd Rashid berkata, kapal terbabit dikesan pada 10.10 pagi di kedudukan tiga batu nautika dari Tanjung Mat Amin oleh anggotanya yang melakukan rondaan rutin.

Katanya, ketika ditemui, kedudukan kedua-dua kapal agak rapat dan mencurigakan.

“Susulan itu anggota menghampiri dan pemeriksaan mendapati kedua-duanya sedang melakukan pemindahan 50,000 liter diesel yang dianggarkan bernilai RM130,000 tanpa permit yang sah,” katanya, hari ini.

Rashidilhadi berkata, pemeriksaan menemui sembilan individu iaitu empat lelaki tempatan dan lima warganegara Bangladesh berusia antara 22 hingga 56 tahun dalam kedua-dua kapal.

“Mereka ditahan dan kapal ditunda sehingga ke Jeti Zon Maritim Kemaman untuk siasatan mengikut Ordinan Perkapalan Saudagar 1952 yang memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi RM100,000 atau dua tahun penjara atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan, ” katanya.

Beliau berkata, pihaknya memandang serius kegiatan itu dan akan mempergiatkan penguatkuasaan di perairan negara.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 3 Februari 2019 @ 7:01 PM