Lokasi kes pecah rumah di Taman Liew Siew Joo kelmarin. FOTO Mohd Iqmal Haqim
Mohd Helmi Irwadi Mohd Nor


WANITA warga emas berusia 70-an rugi RM19,000 selepas kediamannya di Taman Liew Siew Joo, Jalan Dato Muda Linggi, Seremban dipecah masuk kelmarin.

Sumber polis berkata, kejadian disedari anak lelaki mangsa berusia 45 tahun sebaik pulang ke rumah itu jam 10 malam.

Katanya, sebaik memasuki premis lelaki itu yang menetap di Taman Duyong dekat sini mendapati pintu hadapan terbuka, lampu bernyala selain terdapat sebilah pisau di atas sofa.

“Lelaki itu menghubungi Balai Polis Rahang sebelum sepasukan anggota tiba di lokasi.

“Pemeriksaan bersama di rumah teres berkembar itu mendapati kediaman berselerak dan banyak barangan hilang,” katanya.

Menurutnya, antara yang hilang kamera dan tablet, dua komputer riba, 13 utas barang kemas serta wang tunai RM7,000.

“Siasatan polis mempercayai penjenayah memasuki kediaman menerusi siling rumah yang dipecahkan dan melarikan diri melalui pintu belakang,” katanya.

Sumber itu berkata, rumah berkenaan milik warga emas terbabit yang didiami bersama seorang lagi anak lelaki dan seorang anak perempuan.

“Ketika kejadian, tiga beranak ini berada di Ipoh, Perak dan meninggalkan premis dalam keadaan berkunci.

“Laporan dibuat di Balai Polis Rahang jam 11 malam hari sama,” katanya.

Sementara itu Timbalan Ketua Polis Daerah Seremban, Superintendan Mohd Rosli Ishak ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan.

Katanya, suspek kini diburu mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan kerana pecah masuk kediaman.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 3 Februari 2019 @ 7:04 PM