GAMBAR hiasan
Ekhwan Haque Fazlul Haque


MURUNG, menyendiri dan kurang bercakap. Itu petanda seorang lelaki yang menggantung dirinya di rumah di Batu Kawa, Padawan, malam tadi.

Mayat lelaki berusia 25 tahun itu ditemui tergantung dalam bilik tidurnya pada 8.30 malam oleh abangnya yang merasa pelik dengan kelakuan mangsa.

Ketua Polis Daerah Padawan, Superintendan Aidil Bolhassan berkata, lelaki terbabit ditemui tidak sedarkan diri dengan lehernya tergantung menggunakan wayar mesin pencetak.

Menurutnya, siasatan awal mendapati lelaki terbabit dilihat murung dan kurang bercakap oleh ahli keluarganya beberapa hari lalu.

“Lelaki terbabit tinggal di rumah berkenaan bersama bapa dan abangnya tidak kelihatan sejak awal pagi hari kejadian.

“Bapa dan abangnya yang bekerja sebagai pekerja binaan keluar rumah pada hari kejadian untuk ke tapak projek manakala si mati masih di rumah,” katanya.

Aidil berkata, sebaik pulang pada 8.30 malam, abang lelaki itu kemudian mencarinya di kawasan rumah untuk memberi makan malam yang dibeli sebelum pulang namun tidak menemuinya.

Katanya, sebaik pintu bilik dibuka, maangsa ditemui dalam keadaan tidak bernyawa dengan wayar mesin pencetak digantung pada kayu bumbung rumah.

“Mayat dihantar ke Hospital Umum Sarawak untuk bedah siasat bagi mengetahui punca kematian manakala kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 4 Februari 2019 @ 10:12 AM