Motosikal lelaki diangkut ke balai polis untuk siasatan lanjut. FOTO Ihsan Polis
Mohd Helmi Irwadi Mohd Nor
mohdhelmi@nstp.com.my


PADAH berlumba motosikal ketika Maghrib, dua lelaki ditahan polis di Jalan Eka Matahari berhampiran Sendayan, Nilai semalam.

Ketua Polis Daerah Nilai, Superintendan Mohd Nor Marzukee Besar berkata, suspek berusia 19 dan 22 tahun itu ditahan anggota Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik negeri jam 7 malam.

Katanya, pihak polis yang menjalankan risikan jam 6.30 petang mendapati dua lelaki itu menunggang secara melulu dengan membongkokkan badan selain membahayakan pengguna jalan yang lain.

“Mereka dipercayai sedang berlumba sebelum polis menahan mereka,” katanya hari ini.

Menurutnya, kedua-dua suspek dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Nilai untuk siasatan lanjut manakala dua motosikal jenis Yamaha 125Z disita.

Mohd Nor Marzukee berkata, kedua-dua suspek akan dibawa ke Mahkamah Majistret Seremban untuk permohonan reman dan kes disiasat mengikut Seksyen 42 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 4 Februari 2019 @ 12:29 PM